My Add

Wednesday 18 January 2012

Barat disaran kaji kaum Melayu

Oleh MARZITA ABDULLAH

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Sarjana-sarjana dari Barat disaran mengkaji kesederhanaan yang telah diamalkan kaum Melayu di negara ini yang memberi pelbagai peluang kepada kaum-kaum minoriti lain untuk berjaya.

Profesor Ulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hassan berkata, kesederhanaan itu dapat dilihat melalui toleransi beragama, perkongsian kuasa pemerintahan dan amalan Islam yang sederhana.

“Pada masa ini, golongan sarjana Barat sering menonjolkan kelemahan orang Melayu dalam soal kemiskinan, ekonomi dan politik sedangkan kaum Melayu adalah satu-satunya kaum di dunia ini yang mempunyai sikap sederhana dan seimbang dalam dunia moden,” katanya.

Menurut beliau, melalui amalan Islam yang sederhana, berjaya menolak kewujudan pemberontak mahupun golongan ekstremis yang sering berlaku di negara-negara Islam Timur Tengah.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dalam sesi pertama bertajuk Finding The Moderate Voice Within pada Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Sesi itu turut disertai oleh Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Tan Sri Dr. Ahmad Mohamed Ali Al Madani dan pensyarah Islam in Comtemporary West, Universiti Leiden, Prof. Dr. Maurits S. Berger manakala perantaranya ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Tegas Muhammad Kamal, pelaksanaan konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menonjolkan amalan kesederhanaan yang diamalkan oleh rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Dr. Berger menegaskan umat Islam tidak seharusnya mempunyai tanggapan yang negatif terhadap pandangan barat kepada Islam.

“Islamic Phobia yang sering dilaungkan oleh golongan Barat sebenarnya hanyalah pandangan negatif daripada sekumpulan manusia yang bodoh yang enggan menerima keindahan Islam itu.

“Namun umat Islam sendiri perlu membuang segala imaginasi yang negatif terhadap Barat kerana tidak semua masyarakat barat menganggap umat Islam itu ekstremis,” katanya.

Sementara itu, Dr. Ahmad berkata, Malaysia boleh dijadikan contoh sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai bidang kehidupan.

Katanya, penubuhan Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah contoh terbaik yang boleh dikongsi dengan negara-negara Islam lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment