My Add

Saturday 7 January 2012

Beristikharah dapatkan petunjuk

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Januari, 2012: Rakyat negara ini khususnya yang berhasrat menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 disaran untuk beristikharah meminta petunjuk daripada Allah SWT sebelum meneruskan niat mereka pada 9 Januari ini.

Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, dengan beristikharah, maka golongan itu mampu membezakan peranan mereka pada perhimpunan tersebut iaitu sebagai penegak kebenaran ataupun hanya sekadar pengikut pengaruh pihak lain semata-mata.

"Junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW menyuruh sesiapa yang tidak pasti dan keliru akan sesuatu untuk beristikharah. Maka eloklah sesiapa yang hendak pergi berhimpun pada 9 Januari ini beristikharah.

"Istikharah yang membawa maksud meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam urusan merupakan senjata orang beriman dalam membuat pilihan yang tepat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang menegaskan adalah tidak wajar rakyat diheret menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan yang tidak rela anak-anak muda diheret sama, turut membidas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan di peringkat pusat.

Menurut Mohd. Asri, umat Islam perlu memikirkan sedalam-dalamnya segala bentuk natijah yang bakal berlaku kesan perhimpunan tersebut terutamanya pada negara dan masyarakat.

"Inilah senjata terakhir yang kita ada. Jika tidak menggunakan solat dan doa ini, maka adakah kita rela membiarkan keadaan ini berterusan dan keliru," kata beliau.

No comments:

Post a Comment