My Add

Wednesday 11 January 2012

BN pendokong demokrasi sebenar

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Januari, 2012: Ketenangan penyokong Barisan Nasional (BN) menerima keputusan Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuktikan gabungan itu merupakan pendokong demokrasi sebenar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan pembangkang sama ada sebelum atau pada hari mahkamah membuat keputusan..

"Apa yang terjadi semalam, perhimpunan 901 yang dianjurkan pembangkang dan kekecohan di luar mahkamah menunjukkan dengan jelas orang BN yang selama ini lebih kuat mendokong demokrasi.

"Anwar sudah sedia dengan orang dia jika kalah kes itu, mahu lakukan huru-hara. Tetapi bila dia bebas, penyokong BN tidak adapun yang buat demonstrasi menentang keputusan mahkamah itu," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian lesen francais kepada 45 syarikat francais di sini semalam.

Beliau diminta mengulas keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar daripada tuduhan kes liwat keduanya itu dan kekecohan termasuk berlaku beberapa letupan di luar mahkamah apabila pembangkang menganjurkan perhimpunan Bebaskan Anwar 901 bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, penyokong BN sentiasa bersikap profesional dan tidak akan mengadakan demonstrasi bagi membantah keputusan mahkamah, meskipun ia menyebelahi Anwar.

Beliau berkata, keputusan mahkamah itu juga jelas menunjukkan bahawa segala tohmahan pembangkang terhadap kerajaan yang dikatakan merancang konspirasi dalam kes liwat Anwar itu adalah tidak benar.

"Selama ini dia (Anwar) salahkan semua orang, bahawa ini adalah konspirasi untuk jatuhkan dia. Malah, dia pergi ke seluruh dunia dan kata bahawa kerajaan ada konspirasi terhadapnya. Tetapi semalam semuanya jelas membuktikan kerajaan tidak pernah masuk campur dalam kes itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment