My Add

Sunday 15 January 2012

BN perlu tekun, bijak di Sarawak

BINTULU, AHAD, 15 Januari, 2012: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh bergantung pada tagline kempen pilihan raya selama ini "Tiada Barisan Nasional, Tiada Pembangunan" di Sarawak kerana keadaan sudah berubah. 

Ia kerana, pengundi yang ada sekarang "bukan saja terdiri daripada golongan
muda, tetapi juga berpelajaran tinggi dan amat mengetahui segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka"," katanya pada satu majlis jamuan anjuran PRS Cawangan Bintulu di sini, malam tadi.

Masing berkata, kewujudan Internet mengubah senario yang wujud sebelum ini. 

"Ia membawa kebaikan dan keburukan kepada kita. Dengan adanya Internet, kita 
ada media alternatif atau media sosial, yang mempunyai lebih ramai pembaca 
berbanding media arus perdana. 

"Media alternatif ini mempunyai jangkauan yang lebih meluas dan dibaca pelbagai lapisan masyarakat. Oleh itu, penduduk, terutama di kawasan bandar dan 
separa bandar, mendapat pelbagai maklumat tentang perkara yang berlaku di 
sekeliling mereka," katanya. 

Masing berkata, kehidupan mereka juga lebih makmur dan oleh itu memerlukan 
lebih banyak perkara, selain keperluan asas. 

"Oleh itu, cubaan untuk menarik mereka dengan projek kecil atau projek 
pembangunan tidak lagi praktikal dan berkesan. Sebaliknya, kita bukan saja perlu 
bekerja keras, tetapi juga bekerja dengan bijak," katanya. 

Beliau berkata, antara caranya ialah wakil rakyat perlu bersikap benar-benar jujur dan ikhlas terhadap mereka. 

"Kalau kita tak mampu melakukan sesuatu, kita perlu berterus terang mengenainya. Kita juga perlu sentiasa turun padang. 

"Saya dapati pengundi lebih mudah memaafkan kesilapan YB yang sentiasa 
bekerja keras serta sentiasa mudah didekati sepanjang tempoh perkhidmatan mereka berbanding yang hanya menunjukkan muka apabila menjelang pilihan raya," katanya. 

Masing berkata, perkara yang beliau nyatakan itu adalah berdasarkan 
pengalaman beliau semasa berada dalam pembangkang selama lapan tahun dan tidak berkemampuan untuk menawarkan sebarang projek pembangunan atau bantuan kepada rakyat. 

"Apa yang saya miliki hanyalah masa dan itulah yang saya berikan kepada 
mereka. Setiap kali pilihan raya diadakan, pengundi membalas budi saya dan 
hasilnya, saya menang dengan undi yang sentiasa bertambah pada setiap pilihan 
raya," katanya. 

Masing berkata, beliau yakin kerajaan BN akan terus berkuasa selepas pilihan 
raya umum akan datang. 

Pilihan raya umum ke-13 perlu diadakan selewat-lewatnya April 2013. 

Beliau menasihati pengundi luar bandar, yang kebanyakannya terdiri daripada 
masyarakat Dayak, supaya menyokong BN kerana parti gabungan itu terbukti berlaku adil kepada semua rakyat. 

"Janganlah cuba-cuba hendak memilih pemimpin Pakatan Rakyat kerana mereka 
tidak pernah bersatu daripada segi pendapat dan arah tuju," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment