My Add

Sunday 15 January 2012

BN tidak gentar jelajah Anwar


NAJIB mendengar penerangan daripada Noh Omar mengenai model Rancangan Tebatan Sungai Kerian sambil diperhatikan oleh Zambry Abd. Kadir pada sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan 2011 di Parit Buntar, Perak, semalam. - MINGGUAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

PARIT BUNTAR, AHAD, 15 Januari, 2012: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk berdepan apa jua strategi pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sibuk menjelajah dalam dan luar negara untuk meraih sokongan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana pendekatan tersebut sudah menjadi modal pakatan pembangkang sejak dahulu lagi.

"Itu perkara biasalah kalau pembangkang, apa lagi modal yang dia ada selain buat roadshow atau ceramah. Negara kita mengamalkan demokrasi, jadi masing-masing ada kaedah dan cara untuk meraih sokongan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di sini semalam.

Laporan Utusan Malaysia hari ini memetik sumber mengatakan Anwar dipercayai sedang sibuk menjelajah ke beberapa tempat termasuk luar negara bagi mendapatkan sokongan selepas dibebaskan daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Isnin lalu.

Ditanya sama ada tindakan Anwar itu akan menjejaskan BN, Najib yang juga Pengerusi BN berkata: "Kita akan berdepan dengan pembangkang dalam apa bentuk sekalipun. Ini bukan kali pertama, jadi saya tidak anggap ini aneh atau luar biasa."

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kononnya ada pemimpin BN dan UMNO yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, Najib berkata, ia adalah satu lagi helah untuk mengalih perhatian rakyat terhadap keretakan yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang.

"Macam-macam dia (Mohamad Sabu) boleh cakap, kalau dia tidak dilanggar polis pun dia boleh kata dilanggar, (jadi) tidak menghairankan," katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai keputusan menyemak semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Najib memberitahu, kerajaan tidak mahu membuat keputusan terburu-buru memandangkan skim tersebut perlu diteliti secara lebih menyeluruh.

"Kita akan mendengar kalau ada mana-mana pihak yang rasa tidak puas hati sama ada jumlah kenaikan terlalu kecil atau parity (tidak seimbang) dengan kumpulan tertentu, ini semua kita akan ambil kira," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan terlalu memberi kelebihan kepada peneroka Felda berbanding golongan petani lain, Najib menegaskan, pandangan itu tidak tepat kerana kejayaan Felda pada hari ini tidak dicapai dengan mudah.

"Pada peringkat awal mereka (peneroka Felda) juga menghadapi kesusahan, bukan senang. Banyak juga yang tidak melepasi ujian, jadi yang kekal itu berhak mendapat manfaat kemudian hari," jelas beliau. - MM

No comments:

Post a Comment