My Add

Wednesday 18 January 2012

BR1M bukan gula-gula politik

 MUHYIDDIN Yassin menyampaikan baucar replika BR1M kepada seorang penerima, Naning Ramain (dua dari kanan) pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian BR1M Parlimen Semporna di Padang Pekan Semporna, semalam.
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

SEMPORNA, RABU, 18 Januari, 2012: Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukannya gula-gula politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sambil menempelak pembangkang yang mempolitikkannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan ikhlas membantu rakyat bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tegas beliau, BR1M adalah terjemahan daripada rintihan rakyat yang dijelmakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bentuk memberikan bantuan kepada mereka yang layak.

Menurutnya, ia salah satu daripada agenda transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

“Sebenarnya pembangkang amat panik dan terdesak kerana momentum rakyat kepada BN pada masa ini begitu meningkat. Perdana menteri melalui pelbagai program turun padang telah mendengar sendiri rintihan dan keperluan rakyat.

“Refleks daripadanya beliau telah mewujudkan NKRA khusus bagi mengurangkan kos sara hidup, hasilnya muncullah BR1M,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian BR1M Parlimen Semporna di Padang Pekan Semporna di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna.

Tambah Muhyiddin, bantuan BR1M bukannya kecil, malah ia melibatkan peruntukan sehingga RM4 bilion kepada lebih empat juta ketua isi rumah.

Sehubungan itu, beliau berkata, langsung tiada sebab untuk rakyat menolak dan tidak menerima kerajaan BN.

“Saya tidak faham kenapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh BN sebuah kerajaan tidak bertanggungjawab dan membiarkan rakyat berada dalam penderitaan.

“Saya ingin tanya, adakah ada kes rakyat negara ini mati kerana kebuluran, apa yang saya tahu ramai yang mati kerana terlebih makan hingga dihidapi penyakit seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan sebagainya,’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment