My Add

Saturday 21 January 2012

BR1M bukti komitmen kerajaan bantu rakyat: Nur Jazlan

JOHOR BAHRU, SABTU, 21 Januari, 2012: Bagi penduduk di kawasan Parlimen Pulai di bandaraya Johor Bahru, pemberian wang tunai RM500 yang diberikan kerajaan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) amat dialu-alukan dan tepat pada masanya.

Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ini kerana kos sara hidup di Johor Bahru yang amat tinggi berikutan kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan Singapura.

"Dengan kos sara hidup di Johor Bahru yang amat tinggi, penduduk memang menghargai dan mengalu-alukan BR1M kerana ia amat membantu di dalam meringankan beban kehidupan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian BR1M kepada 287 penerima terdiri daripada masyarakat Cina tempatan di Dewan Hokkien, Jalan Mahmoodiah di sini, hari ini.

Nur Jazlan, yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad berkata, kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan kerana ia adalah fenomena di seluruh dunia dan bukan hanya di Malaysia, tetapi kerajaan berusaha sedaya-upaya menerusi pelbagai program untuk membantu rakyat di dalam meringankan beban mereka.

Katanya, setiap tahun kerajaan mengeluarkan belanja besar menerusi pemberian subsidi terhadap barangan keperluan rakyat seperti minyak kenderaan, makanan dan lain-lain, di dalam usaha meringankan beban rakyat.

"BR1M, pemberian subsidi dan program lain adalah bukti komitmen berterusan kerajaan untuk membantu rakyat. Usaha kerajaan tidak terhenti setakat ini, malah akan berusaha lebih keras lagi untuk membantu rakyat," katanya.

Pengerusi Persatuan Hokkien Johor Bahru, Datuk Teoh Poh Boon yang turut hadir berkata, usaha kerajaan menerusi BR1M harus dipuji kerana ia membantu meringan beban rakyat.

"Program pemberian wang tunai BR1M amat tepat kerana hanya beberapa hari lagi masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina, kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan," katanya. - BERNAMA


 

No comments:

Post a Comment