My Add

Wednesday 11 January 2012

Contohi semangat juang Chong Wei: Rosmah

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Januari, 2012: Pemain badminton negara perlu mencontohi semangat juang yang dipamerkan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, dalam setiap pertandingan yang disertai, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu meningkatkan kebolehan dan kemampuan masing-masing untuk menjadi setanding Chong Wei.

"Apa yang penting, semua pemain mesti konsisten dalam permainan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan pemain itu di kediamannya di sini hari.

Turut hadir, pengurus pasukan, Datuk Norza Zakaria, penolong pengurus, Lee Weng Keong, serta dua jurulatih, Tey Seu Book dan Rashid Sidek.

Rosmah yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berharap rakyat Malaysia dapat memberi sepenuh sokongan kepada Chong Wei bagi mempertahankan kedudukannya sebagai juara Kejohanan Terbuka Malaysia yang bermula hari ini.

Chong Wei menjuarai kejohanan itu sebanyak tujuh kali sejak 2004 dengan hanya mencatatkan satu kekalahan pada tahun 2007.

Rosmah berkata, kejayaan Chong Wei mengalahkan musuh ketatnya dari China, Lin Dan, pada Kejohanan Terbuka Korea 2012 Ahad lalu membuktikan jaguh badminton negara itu mampu mengalahkan sesiapa sahaja.

"Nasihat saya, secara psikologi, jangan lihat wajah Lin Dan... main saja sebaik mungkin. Pasti boleh menang. Saya harap semua peminat badminton boleh beri sepenuh keyakinan kepada Chong Wei.

"Saya percaya beliau akan beri persembahan terbaik dan akan menang walaupun bertemu Lin Dan sekali lagi," katanya mengenai Chong Wei yang diramalkan bertemu Lin Dan pada perlawanan akhir kejohanan Terbuka Malaysia hujung minggu ini.

Pada pusingan pertama Terbuka Malaysia yang bermula hari ini, Chong Wei bakal bertemu pemain senegara, Liew Daren.

Selain itu, Rosmah turut mengingatkan pihak-pihak terlibat terutamanya BAM agar tidak hanya memberi tumpuan kepada Chong Wei, sebaliknya turut membuka mata kepada pemain lain yang mempunyai potensi untuk membawa kemenangan kepada Malaysia.

"Tahun ini kita juga ada Sukan Olimpik, Piala Thomas dan Kejohanan All-England. Jadi jangan kurangkan perhatian kepada mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment