My Add

Saturday 14 January 2012

Daftar pengundi pada usia 20 tahun

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD

JOHOR BAHRU, SABTU. 14 Januari, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya sedang meneliti cadangan pendaftaran pengundi baru bermula pada usia 20 tahun dan mengundi secara automatik sebaik sahaja mencapai usia 21 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili menyifatkan ia sebagai cadangan baik kerana membolehkan seseorang menyertai proses pilihan raya di negara ini sebaik sahaja mencapai usia tersebut.

"Mana tahu sebaik sahaja seseorang itu berumur 21 tahun, dua minggu lepas itu ada pilihan raya, tak payah tunggu enam bulan lamanya untuk dipaparkan dalam daftar pemilih. Ini satu idea yang menarik dan pihak jawatankuasa akan memperhalusi perkara ini secara serius.

"Cadangan ini akan dibentangkan di Parlimen pada awal April ini selepas diperhalusi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat PSC di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Jelas Maximus, ketika ini, pendaftaran pengundi baru bermula pada umur 21 tahun dan perlu menunggu enam bulan sebelum nama mereka diwartakan dalam senarai pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya pernah menerima cadangan supaya pendaftaran pengundi bermula pada usia 18 dan 25 tahun.

Dalam pada itu, kata Maximus, PSC akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua pengarang media cetak dan elektronik dalam usaha mengawal etika pengamal media sepanjang tempoh pilihan raya.

Beliau menambah, selama dua hari pendengaran awam diadakan di bandar raya ini, PSC menerima 20 cadangan daripada 13 pertubuhan bukan kerajaan dan individu berhubung penambahbaikan dalam pilihan raya.

PSC yang ditubuhkan Oktober tahun lalu dianggotai lima wakil kerajaan Barisan Nasional (BN), tiga wakil pembangkang dan seorang wakil bebas. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment