My Add

Sunday 22 January 2012

Dakwa sesiapa yang ugut pemimpin di laman sosial

PADANG RENGAS, AHAD, 22 Januari, 2012: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendesak supaya tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang menggunakan laman sosial untuk mengugut pemimpin negara.

Menurutnya, penyalahgunaan Internet yang berbaur ugutan dianggap sebagai jenayah kerana ia boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

“Saya percaya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sedang menyiasat perkara ini di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kalau ada cukup bukti menunjukkan pelanggaran akta telah berlaku, sudah tentu kita akan dakwa mereka yang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai dua kes membabitkan pelajar menggunakan laman sosial masing-masing dengan kenyataan mengugut dan mengancam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kes pertama membabitkan seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan yang terbaru seorang pelajar perempuan di Kedah menghantar kenyataan berunsur lucah dan berbaur ugutan kepada Perdana Menteri di laman sosial Facebook.

Mohamed Nazri yang memandang serius perbuatan tersebut menegaskan, hanya tindakan berteraskan undang-undang boleh menghalang perkara seperti itu daripada terus berulang.

“Sememangnya saya selaku Menteri Undang-Undang, sentiasa mahu menegakkan undang-undang dan tidak kira siapa, kalau mereka membuat kesalahan pelanggaran undang-undang. Kita siasat dan dakwa mereka di mahkamah,” tegasnya. - MM

No comments:

Post a Comment