My Add

Sunday 15 January 2012

‘DAP, PKR berjaya singkir Hasan’

Oleh Hassan Omar

KUALA LUMPUR, AHAD, 1 Januari, 2012: Penyingkiran Datuk Dr Hasan Ali daripada EXCO Kerajaan Selangor kelmarin memberikan kemenangan kepada DAP dan PKR untuk melenyapkannya dan membuktikan pembangkang sanggup melakukan apa saja untuk menyingkirkan pemimpin tidak menguntungkan mereka. 

Secara tidak langsung ia turut memberi kemenangan kepada pemimpin tertentu PAS yang tidak gemar melihat wujud ‘penghalang’ kepada usaha pembangkang untuk memancing rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dengan mempamerkan kononnya parti pembangkang bersifat liberal.

Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggugurkan Hasan bukan setakat mempamerkan sifat terburu-buru pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin PAS yang cenderung memelihara kepentingan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu, malah membuktikan pembangkang tidak pernah menghargai sumbangan pemimpin mereka kepada parti dan kerajaan.

Bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata penyingkiran Hasan dibuat tanpa beradab kerana Abdul Khalid seharusnya menunggu hingga Hasan mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura PAS sebelum mengambil tindakan drastik. 

“Ada cara lain untuk menggugurkan beliau. Kerajaan negeri boleh merombak kabinet negeri dan kalau hendak gugurkan beliau, bolehlah. Bukan dengan cara menamatkan perkhidmatannya begitu saja seolah-olah Hasan tidak pernah berjasa kepada kerajaan negeri,” katanya kepada Berita Minggu, di sini semalam. 

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan Hasan digugurkan daripada jawatan itu oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan watikah memaklumkan pembatalan pelantikannya akan dihantar oleh pihak istana kepadanya tidak lama lagi dan pelantikan EXCO baru disempurnakan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Rabu depan. 

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor itu dipecat daripada PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang pada 8 Januari lalu berikutan kritikan Hasan yang disifatkan merugikan parti. 

Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsuddin Abdul Rahman, berkata penyingkiran Hasan adalah pelengkap usaha DAP untuk menguasai kerajaan negeri tanpa seorang pemimpin PAS yang tidak sehaluan dengan dasar pembangkang, selain mahu membuktikan kononnya pembangkang bersifat liberal. 

Katanya, bukan rahsia lagi DAP tidak setuju dengan beberapa tindakan Hasan sebelum ini yang merugikan pakatan pembangkang seperti Hasan atas prinsipnya melaksanakan tugas EXCO, memperjuang hak Melayu, mempertahan institusi Raja dan menyokong gerakan antimurtad, antiarak dan antijudi. 

Hasan pernah menegur Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu daripada DAP sebagai tidak memahami Islam berhubung kes rampasan arak di sebuah pusat hiburan dan pekerja Muslim di premis menjual arak di Selangor. 

Penganalisis politik, Prof Dr Attory Hussain berkata, walaupun Abdul Khalid ada hak untuk menggugurkan Hasan, seharusnya beliau menunggu Hasan membuat rayuan kepada Majlis Syura PAS. 

“Menteri Besar Selangor menyebabkan Hasan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Memanglah hak eksekutif itu ada pada MB tetapi apa salahnya jika beliau menunggu hingga Hasan membuat rayuan?” katanya. - BM

No comments:

Post a Comment