My Add

Sunday 8 January 2012

DAP sokong Anwar jadi PM biar apa jua keputusan mahkamah

SHAH ALAM, AHAD, 08 JanUARI, 2012: DAP hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri walau apa pun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes liwat ketua pembangkang itu esok.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata, DAP tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana yakin Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan disabitkan kesalahan.

"DAP berpendirian tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana saya percaya Anwar akan menjadi Perdana Menteri sebenar,” katanya semasa berucap pada persidangan DAP 2012, yang dihadiri 749 delegasi dan 349 pemerhati, di sini hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan esok ke atas Anwar, 64, yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 26 Jun 2008.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Karpal Singh yang juga peguam bela Anwar dalam kes liwat itu berkata, jika mahkamah mendapati anak guamnya itu bersalah, pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan selesai.

Ditanya sama ada DAP akan menyertai perhimpunan di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur esok, Karpal Singh berkata: “Pemimpin DAP akan berada di sana bagi menunjukkan sokongan kami. Ini sudah memadai.” — BERNAMA

No comments:

Post a Comment