My Add

Wednesday 18 January 2012

Dialog UMNO, Pas perlu fokus masa depan negara

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Dialog antara Pas dan UMNO yang pernah cuba dianjurkan beberapa pihak sebelum ini perlu memfokuskan kepada masa depan negara yang lebih baik dan bukannya penyatuan antara kedua-dua parti.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berkata, dialog itu tidak terhad kepada parti berkenaan sahaja tetapi seharusnya melibatkan parti-parti lain termasuk parti pembangkang.

Beliau menegaskan, dialog itu akan diadakan bila tiba masanya namun tidak menolak terdapat golongan minoriti dalam Pas yang bimbang akan dialog tersebut.

''Golongan ini perlu diberi kefahaman bahawa dialog ini hanyalah untuk perbincangan mengenai masa depan negara dan tidak pernah ada agenda dalam Pas untuk menyatukan kedua-dua parti tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan bertajuk Between Moderation and Extremism: Challenges and Responses yang turut disertai bekas Naib Menteri Luar Jepun, Hajime Ogawa manakala perantaranya ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sebelum itu dalam ucapannya Nasharuddin menyokong penubuhan Institut Wasatiyah yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Menurutnya, penubuhan institut itu sejajar dengan konsep kesederhanaan yang diamalkan oleh umat Islam di rantau ini dan ia sewajarnya dijadikan contoh.

''Melalui penubuhan institut itu juga perkembangan dan pembangunan Islam di rantau ini dapat diberi fokus utama," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, rakyat Malaysia tidak akan menjadikan kebangkitan rakyat di Mesir sebagai contoh dalam menuntut perubahan di negara ini.

''Memang rakyat di negara ini mahu perubahan namun dalam menuntut perubahan itu saya yakin rakyat akan menolak unsur-unsur yang boleh menimbulkan ketidakselesaan dan mengancam kehidupan mereka," katanya.

Malah menurut Nasharuddin, taraf kehidupan rakyat di negara ini yang lebih baik berbanding rakyat Mesir merupakan faktor utama kebangkitan di Mesir tidak diterima oleh rakyat negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment