My Add

Saturday 14 January 2012

Dr. Rani ganti jadi Exco?

Oleh MOHD ASRON MUSTAPHA dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

KUALA LUMPUR, SABTU, 14 Jaanuari, 2012: Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang sebelum ini menganggap perjuangan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dipenjara sebagai jihad dijangka dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang baru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru itu dikatakan menjadi pilihan Pas pusat selain mendapat sokongan daripada parti komponen pakatan pembangkang untuk menggantikan Dr. Hasan Ali yang dipecat atas alasan merugikan parti, hanya kerana menyeru orang ramai tidak menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901, Isnin lalu.

Berbeza dengan Hasan yang sering dilabel sebagai batu penghalang kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, Abdul Rani pula dilihat lebih disenangi oleh kedua-dua parti komponen pembangkang tersebut apabila sering kali tampil bersama pemimpin DAP, selain lantang mempertahan Anwar.

Pelantikan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat kerana pelbagai pihak sebelum ini secara terbuka mahu beliau diangkat sebagai Exco kerajaan negeri, antaranya Dewan Pemuda Pas Pusat sendiri melalui Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss, tidak sampai 24 jam selepas Hasan dipecat.

Sementara itu, di Shah Alam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pengguguran Hasan sebagai Exco kerajaan negeri.

Perkenan itu diberikan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Menteri Besar Selangor itu menghadap baginda semalam.

Menurut Abdul Khalid, semasa pertemuan tersebut, beliau mempersembahkan kepada Sultan Sharafuddin bahawa Jawatankuasa Pas Pusat yang bersidang pada 8 Januari lalu telah membuat keputusan memecat Hasan sebagai ahli parti tersebut berkuatkuasa serta merta.

''Memandangkan Hasan bukan lagi ahli Pas, saya telah membuat keputusan bahawa Hasan tidak lagi boleh menjadi ahli MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan telah menasihati Tuanku untuk membatalkan pelantikan beliau (dari jawatan itu).

"Tuanku telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan Hasan sebagai ahli MMKN," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

Pengguguran Hasan sebagai Exco telah dijangka selepas beliau dipecat dari Pas dan selepas itu, Abdul Khalid pula menyeru agar Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia melepaskan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri secara sukarela.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Sultan Sharafuddin telah menyerahkan kuasa baginda kepada beliau sebagai Menteri Besar untuk melantik ahli baru dalam MMKN dan menasihatinya agar melaksanakan tanggungjawab itu dengan bijaksana tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Bagaimanapun Menteri Besar itu mendakwa sehingga hari ini, beliau masih belum menerima secara rasmi senarai nama daripada Pas mengenai calon yang dianggap layak untuk menggantikan tempat Hasan dan beliau akan mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan Pas dalam masa dua hari lagi.

Katanya, satu majlis pelantikan ahli MMKN yang baharu akan disempurnakan di Istana Kayangan pada 18 Januari ini dan serentak dengan itu, segala hak dan keistimewaan yang diberi kerajaan negeri kepada Hasan sebagai Exco juga akan ditarik balik ekoran penguguran beliau daripada jawatan itu. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment