My Add

Saturday 21 January 2012

Dua beradik warga emas parah dibelasah penyamun

TELUK INTAN, SABTU, 21 Januari, 2012: Dua beradik warga emas menempuh pengalaman paling menakutkan apabila dibelasah dua lelaki yang memecah masuk rumah mereka di Kampung Parit 8B, Sungai Manik di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, Aminah Awang, 72, ditumbuk bertubi-tubi di muka selain ditendang di perut oleh kedua-dua lelaki terbabit yang hanya memakai baju T dan seluar dalam berwarna kuning.

Adik warga emas itu, Aishah, 63, yang tinggal di rumah bersebelahan, turut mengalami nasib sama apabila dibelasah sebelum wang tunai RM600 serta barang kemas miliknya dilarikan lelaki terbabit.

Aminah berkata, kejadian berlaku ketika dia baru sahaja selesai solat Subuh sebelum salah seorang lelaki berkenaan mengacukan parang sambil memintanya menyerahkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.

"Apa yang makcik ingat, mereka hanya memakai baju dan seluar dalam, berkali-kali minta wang RM500 itu tetapi makcik kata belum dapat. Setiap kali makcik kata belum dapat, mereka tumbuk di muka dan tendang perut berkali-kali.

"Mereka kemudian menarik telekung dan merampas rantai leher makcik dan bila cuba melawan, salah seorang daripada mereka menendang mulut makcik sehingga berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Berikutan kejadian itu, Aminah yang juga seorang ibu tunggal menerima jahitan di mulut selain lebam di muka dan badan.

Sementara itu, Aishah memberitahu, dia tidak mampu berbuat apa-apa apabila kedua-dua lelaki terbabit menumbuk berkali-kali sehingga rebah sambil meminta supaya dia menyerahkan barang kemas dan wang.

"Mereka merampas gelang dan rantai emas dan mengambil duit syiling berjumlah hampir RM400 dan wang kertas RM200 yang disimpan di bawah tilam.

"Selepas kejadian itu, kami menumpang sementara di rumah jiran yang lain kerana terlalu takut," katanya yang turut lebam di muka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment