My Add

Tuesday 17 January 2012

Ekonomi Asia Timur dijangka lesu pada 2012: PBB

NEW DELHI, SELASA, 17 Januari, 2012: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran krisis ekonomi global yang semakin buruk pada 2012, yang boleh membantutkan pertumbuhan Asia Timur, menjejaskan penggunaan, mengurangkan pelaburan swasta dan eksport di rantau itu. 

"Dengan eksport diunjur terus perlahan dalam suku-suku akan datang, purata pertumbuhan diunjurkan turun kepada 6.9 peratus pada 2012 dan 2013," demikian menurut laporan "World Economic Situation and Prospects 2012".

Kadar pertumbuhan Asia Timur dianggarkan pada 7.2 peratus tahun lalu.
Laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) PBB itu kurang optimis, mengunjurkan pasaran sedang pesat membangun dari Asia Timur hingga Asia Selatan bakal berdepan kesukaran, disebabkan terutamanya kelembapan ekonomi Amerika ditambah dengan krisis hutang Eropah yang masih berlarutan. 

"Laporan itu agak pesimis, terutamanya disebabkan pertumbuhan perlahan di ekonomi utama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah EU). 

"Bagaimanapun, sekiranya Asia dan India boleh bertahan, ia akan menunjukkan daya tahan rantau ini, seperti pada 2008, apabila kedua-duanya berjaya keluar daripada krisis tanpa kesan buruk," kata Dr Nagesh Kumar, ketua ekonomi ESCAP PBB, yang menyerahkan laporan itu kepada media di Delhi, hari ini. 

Menurut laporan itu: "Negara-negara dengan asas permintaan domestik yang besar, terutamanya China dan Indonesia, akan berada di kedudukan lebih baik bagi mengekalkan pertumbuhan tinggi berbanding ekonomi lebih berorientasikan eksport." 

Thailand yang terjejas akibat banjir, di mana sektor pertanian dan pembuatan musnah tahun lepas, juga berdepan tempoh sukar mengekalkan pertumbuhan. 

Bagaimanapun, meskipun prospek 2012 yang suram, laporan itu menyatakan pasaran buruh rantau ini menggalakkan, manakala inflasi harga pengguna dijangka menurun apabila harga komoditi antarabangsa menjadi lemah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment