My Add

Sunday 22 January 2012

Ekonomi negara hanya terjejas 0.7%

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

IPOH, AHAD, 22 Januari, 2012: Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara hanya akan terjejas sekitar 0.7 peratus jika Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dilanda kegawatan ekonomi secara serentak tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ekonomi negara mempunyai daya tahan, didorong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh selain dibantu pelaburan kasar dan eksport yang tinggi serta pengurangan perbelanjaan kerajaan.

"Unjuran Bank Pembangunan Asia akhir tahun lalu menunjukkan ekonomi Malaysia hanya akan terjejas sebanyak 0.7 peratus jika berlaku kemelesetan ekonomi di Eropah dan AS. Kalau Eropah sahaja, hanya menjejaskan 0.6 peratus.

"Sekiranya ekonomi negara jatuh lagi rendah, kita masih boleh menghadapinya kerana kerajaan menyediakan pakej rangsangan bernilai RM6 bilion yang akan dilaksanakan melalui inisiatif swasta pada tahun ini bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 2,500 penduduk di Parlimen Tambun di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan ADUN Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Ahmad Husni berkata, mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia tidak perlu mendapatkan pinjaman luar bagi menghadapi krisis ekonomi kerana memiliki simpanan asing yang tinggi.

"Simpanan asing atau antarabangsa kita sebanyak RM423.4 bilion, satu jumlah yang tinggi dan boleh membiayai import selama 97 bulan dan membiayai bayaran pinjaman jangka pendek sebanyak empat kali.

"Bank Dunia juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.8 peratus pada tahun 2011 dan 4.9 peratus pada 2012, tetapi kita ramalkan dapat lebih lima peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Projek Titik Permulaan dan projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan membantu meningkatkan nilai pelaburan asing di negara ini apabila ia siap sepenuhnya pada 2020.

Pada tahun lalu, katanya, negara dianggarkan menerima pelaburan lebih RM90 bilion walaupun EPP dan NKRA masih di peringkat awal pembangunan. - MM


No comments:

Post a Comment