My Add

Wednesday 18 January 2012

Exco enggan ulas isu bas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, RABU, 18 Januari, 2012:  “Saya komen akhbar lain sahaja, Utusan Malaysia tidak payah, ok.” Demikian reaksi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman ketika diminta mengulas krisis pengangkutan yang berlaku di negeri ini.

Ia berikutan keputusan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) menghentikan perkhidmatan bas Citylinernya di 31 dari 37 laluan yang ada.

Md. Anizam merupakan Exco yang terlibat dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

Bagaimanapun ketika rakyat Kelantan berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu, beliau sebaliknya berdalih dan enggan memberi sebarang komen.

Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan keputusan SKMK, anak syarikat Konsortium Transnasional Berhad (KTB) menghentikan laluan tersebut kerana mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta sebulan.

Pengarah Eksekutif KTB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim dilaporkan berkata, kerugian dialami SKMK yang merupakan satu-satunya syarikat penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini adalah disebabkan kos yang terlalu tinggi melebihi hasil kutipan tambang.

Beliau mendakwa, beberapa cadangan yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu gagal, malah wang RM100,000 sebulan yang pernah dijanjikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah diterima.

Susulan masalah itu, tinjauan Utusan Malaysia di perhentian bas di Bachok mendapati keputusan SKMK itu menjejaskan kebanyakan rakyat negeri ini terutama yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bas setiap hari.

Masalah yang dihadapi semakin bertambah disebabkan rakyat terpaksa menanggung beban tambang lebih mahal sekiranya menaiki teksi berbanding bas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri amat berhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dapat membantu SKMK menyelesaikan masalah yang timbul.

Mengulas kesan keputusan tersebut terhadap Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK12), beliau menaruh keyakinan ia tidak akan menjejaskan pelbagai program yang telah dirancang sebelum ini.

“Kita akan menyewa bas jika ada keperluan untuk mengangkut pelancong ke mana sahaja terutama program-program berkenaan TMK12 manakala pelancong masih mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan.

“Kerajaan negeri cuma berharap SPAD dapat membantu kerana ini bukan tugas kita sepenuhnya sebaliknya syarikat swasta itu sendiri perlu bertanggungjawab terhadap keuntungan atau kerugian yang dihadapi,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment