My Add

Thursday 12 January 2012

Geran kerajaan, wang zakat disimpan dalam satu akaun

KUALA LUMPURKHAMIS, 12 Januari, 2012: Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali hari ini sekali lagi menegaskan dakwaan penggunaan wang zakat bagi pembayaran kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain adalah tidak benar.

Sambil menegaskan pembayaran tersebut dibuat dengan menggunakan peruntukan geran kerajaan, Che Mat yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), berkata, dakwaan itu timbul mungkin disebabkan semua peruntukan atau dana daripada kerajaan dan wang zakat dimasukkan ke dalam akaun yang sama.

"Sumbangan atau dana daripada kerajaan memang kita masukkan di dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat, cuma dimasukkan sementara, tetapi akaun banknya adalah sama.

"Kalau kita nak ambil duit itu (dana kerajaan) bagi digunakan untuk pembayaran kos guaman pun boleh, tak ambil pun boleh dan jika nak ambil duit zakat pun tidak mengapa, asalkan untuk memartabat kredibiliti dan kehormatan MAIWP dalam menguruskan hal ehwal dan warga Islam di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman prestasi kutipan zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Jamil Khir dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, geran kerajaan sebanyak RM700,000 yang diterima MAIWP tahun lepas bagi tujuan pembayaran untuk kes tertentu seperti mempertahankan kredibiliti pengurusan hal ehwal undang-undang yang bersabit dengan MAIWP apabila majlis itu disaman dan sebagainya memang dimasukkan ke dalam akaun yang sama, iaitu akaun zakat dan pengeluaran untuk pembayaran kos guaman untuk situasi seperti didakwa adalah dibolehkan.

Che Mat berkata, penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes yang berkaitan adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) dalam mesyuarat yang diadakan pada 3 September 2009, yang meluluskan sebanyak RM205,000 bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.

"Maknanya kalau kita nak bayar kos itu guna duit kerajaan pun boleh, nak ambil duit zakat pun boleh, sebab fisabilillah untuk mempertahankan maruah institusi agama di Wilayah Persekutuan, maka boleh kita gunakan duit zakat.

"Tetapi hari ini saya nak jelaskan kita bayar duit guaman itu guna dana kerajaan, kita tak ambil duit zakat walaupun kita boleh juga ambil duit zakat seperti yang dijelaskan Mufti Wilayah Persekutuan semalam,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment