My Add

Monday 16 January 2012

Guan Eng terdesak - Zainal Osman

NIBONG TEBAL, ISNIN, 16 Januari, 2012: Janji Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu menghapuskan tol lebuh raya yang telah memperoleh keuntungan berlebihan jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) disifatkan sebagai tindakan orang terdesak dan kemaruk kuasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, janji sedemikian turut terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008 tetapi sehingga kini, selepas empat tahun mentadbir masih belum ditunaikan.

Menurutnya, pembangkang hanya pandai menabur pelbagai janji tetapi ia tidak dikotakan.

"Semasa pilihan raya umum 2008 dia (Guan Eng) janji nak hapuskan Plaza Tol Sungai Nyiur tetapi sampai sekarang rakyat masih kena bayar.

"Walaupun dia ada bina laluan alternatif tetapi ia tidak berkesan, masih menyusahkan pengguna," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Zainal Abidin diminta mengulas ucapan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang semasa Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar, Kedah semalam.

Dalam ucapannya, Guan Eng berkata, antara tujuan penghapusan tol tersebut adalah bagi meringankan beban rakyat.

Zainal Abidin menambah, untuk menghapuskan tol tidak semudah disangkakan kerana syarikat konsesi terlibat mempunyai perjanjian jangka panjang dan perlu dipatuhi.

"Lagi pun rakyat mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan lebuh raya jika mahu mengelak membayar tol. Mereka (pengguna) boleh ikut jalan lama," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment