My Add

Sunday 8 January 2012

Gunakan MyAgro Hypermart dengan bijak - Noh Omar

SERDANG, AHAD, 08 Januari, 2012: Para usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini perlu menggunakan MyAgro Hypermart, pasar raya khas untuk membantu usahawan IKS bagi mengembangkan perniagaan mereka sekaligus menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pasar raya IKS pertama itu adalah platform terbaik untuk usahawan IKS memajukan perniagaan mereka ke satu tahap yang lebih baik.

"Saya minta usahawan yang masih belum memperagakan produk mereka supaya turut serta merebut peluang yang disediakan khas untuk mereka.

"Sebelum ini mungkin produk usahawan IKS dipinggirkan dalam pasar raya-pasar raya besar tetapi dengan penubuhan MyAgro Hypermart ini produk usahawan IKS boleh menempuhi pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Pasar Raya MyAgro Hypermart di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, hari ini.

Noh berkata, daripada 13,000 produk IKS di seluruh negara, hanya 2,045 produk yang melibatkan 250 usahawan sahaja kini dijual di pasar raya itu.

Beliau menjelaskan, pasar raya yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi kesemua hasil-hasil pertanian itu mempunyai komposisi 60 peratus produk usahawan IKS manakala 40 peratus adalah barangan pengguna laris (FMCG) atau jenama utama.

Kata beliau, MyAgro Hypermart tidak mengenakan sebarang syarat dan peraturan yang membebankan usahawan IKS seperti yuran penyenaraian, yuran pentadbiran dan yuran pengiklanan.

Noh berkata, pasar raya itu akan menggunakan jenama 1Malaysia Best sebagai jenama tunggal bagi produk yang dieksport ke luar negara sekaligus mempromosikan produk Malaysia di peringkat antarabangsa. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment