My Add

Wednesday 11 January 2012

Hasan Ali bercuti, tidak hadiri mesyuarat EXCO Selangor

SHAH ALAM RABU, 11 Januari, 2012: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat daripada parti baru-baru ini, tidak menghadiri mesyuarat EXCO kerajaan Selangor hari ini kerana beliau sedang bercuti. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata mesyuarat hari ini tidak membincangkan portfolio Hasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

"Mesyuarat EXCO hari ini hanya berbincang mengenai program kendalian kerajaan negeri bagi faedah rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat EXCO di sini.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meminta Hasan mengosongkan jawatannya secara sukarela kerana beliau sudah dipecat daripada PAS dan tidak lagi mewakili parti itu dalam kerajaan negeri. 

Hasan dipecat daripada PAS pada Ahad lalu kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu. 

Ditanya mengenai kemungkinan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, mengambil alih sebagai EXCO Hal Ehwal Islam negeri, Iskandar berkata: "Saya tidak mahu mendahului jawatankuasa PAS Pusat dalam perkara ini. 

"Tunggu sajalah arahan selanjutnya daripada Presiden parti (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Sementara itu, EXCO kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan, Ronnie Liu Thian Kiew, berkata rakyat di Selangor boleh menggunakan talian hotline 1800-88-2824 menjelang Selasa depan (17 Jan) untuk mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai sampah yang tidak dikutip, termasuk perbuatan membuang sampah besar-besaran secara sengaja di selekoh jalan di kawasan mereka. 

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. 

Ronnie berkata, aduan masih boleh dibuat selepas 6 petang menerusi rakaman suara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment