My Add

Wednesday 18 January 2012

Hasan sifatkan pelantikan EXCO baru terlalu awal: Khalid

SHAH ALAM, RABU, 18 Januari, 2012: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau sudah menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, sebagai EXCO baru terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS. 

"Saya ada menerima surat bertarikh 10 dan 11 Januari daripada Datuk Dr Hasan Ali...beliau (Hasan) berkata bahawa pelantikan ini terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura Pas.

"Saya sudah menjawab surat Hasan dengan menyatakan bahawa keputusan saya menggugurkan beliau adalah lanjutan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang melucutkannya sebagai anggota Pas pada 8 Januari lalu dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan," kata Khalid kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah Dr Ahmad Yunus sebagai ahli EXCO Selangor yang baru di Istana Bukit Kayangan di sini.

Hasan dipecat daripada Pas kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti dan diberi sehingga 7 Februari untuk merayu penyingkirannya. 

Sebelum digugurkan, Hasan memegang jawatan sebagai EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. 

Abdul Khalid berkata, Hasan mempertikaikan tarikh pemecatannya sebagai ahli EXCO kerajaan Selangor kerana mendakwa ia bercanggah dengan kuatkuasa keanggotaannya sebagai anggota PAS yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. 

Dengan pemecatan Hassan, Ahmad Yunus akan bertanggungjawab terhadap portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan manakala portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, kini dipegang Abdul Khalid. 

"Pertimbangan kita ke atas pelantikan ini adalah atas dasar kerja...proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh Pas sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri. 

"Saya berharap Dr Hasan dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas peranan beliau ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri)," katanya. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Hasan yang masih memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Khalid berkata itu terpulang kepada budi bicara Sultan untuk menentukannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment