My Add

Monday 9 January 2012

Ibu bapa bahayakan anak-anak boleh didakwa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Golongan wanita dan kanak-kanak disarankan agar tidak menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 esok demi keselamatan masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie berkata, wanita dan kanak-kanak tidak seharusnya diheret untuk bersama dalam kempen tersebut.

Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal dan itu mampu meletakkan golongan berkenaan dalam keadaan bahaya.

"Biarpun pihak polis mengeluarkan kebenaran terhadap kempen itu, namun wanita dan kanak-kanak tidak sepatutnya dilibatkan.

"Justeru, saya menyeru kepada semua wanita agar tidak terlibat manakala ibu bapa jangan sekali-kali melibatkan anak-anak kerana kita tidak mahu sebarang perkara buruk terjadi," katanya selepas merasmikan Pusat Perubatan Tradisional Cina dan Akupuntur di sini, semalam.

Tambah Seai Kei, ibu bapa harus sedar bahawa mereka boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sekiranya meletakkan anak-anak dalam persekitaran yang tidak selamat dan berbahaya.

"Suka untuk saya tegaskan, mengikut akta berkenaan definisi kanak-kanak adalah mereka yang berusia di bawah 18 tahun," katanya.

Sementara itu, di Batu Pahat, Johor, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menasihatkan ibu bapa dan guru supaya jangan korbankan anak-anak hanya kerana ketaksuban terhadap kepentingan politik individu.

Beliau berkata, mereka perlu menggunakan kebijaksanaan supaya waktu persekolahan tidak terjejas semata-mata kerana mahu menyertai perhimpunan berkenaan.

"Bagi guru, esok hari bertugas dan menjadi tanggungjawab pendidik untuk berada di sekolah. Justeru, tidak wajar untuk mengambil cuti bagi tujuan yang tidak sesuai.

"Saya juga difahamkan, ada ibu bapa mahu membawa anak-anak ke perhimpunan itu dan nasihat saya ialah jangan peralatkan anak-anak demi politik sehingga tidak pergi sekolah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment