My Add

Monday 16 January 2012

Idea bukti kerajaan cemerlang

PEKAN, ISNIN, 16 Januari, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kayu pengukur kepada kecemerlangan dan kejayaan sesebuah kerajaan adalah melalui keulungan idea yang dihasilkan.

Menurut Perdana Menteri, keulungan idea itu bermaksud idea yang dihasilkan oleh sesebuah kerajaan itu adalah lebih baik daripada pihak yang bersaingan dengannya.

"Sebab itu, masa saya mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, saya telah ketengahkan pelbagai idea baru yang memberi maksud kepada keulungan idea itu.

"Ia terbukti melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan pelbagai lagi sehinggalah ke projek Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu di Pekan ini," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu Kampung Padang Rumbia di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan Koperasi Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Ishak Muhammad.

Mengulas lanjut, Najib berkata, melalui penghasilan pelbagai idea itu, ia membuktikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa melakukan transformasi.

"Ia bukti mengapa kerajaan hari ini terus mendapat sokongan rakyat meskipun dalam keadaan dunia tidak menentu seperti di Mesir yang berlaku apa yang dipanggil 'Arab Spring', tetapi di Malaysia kerajaan sentiasa melakukan transformasi," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, untuk menegakkan keadilan sosial, kerajaan akan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima rumah di bawah projek Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu itu.

"Rumah yang kita berikan percuma ini bukan calang-calang kerana ia berkeluasan 1,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan perabot dan sebuah tong gas memasak.

"Ini sebenarnya soal asas, yakni perumahan dapati disediakan oleh kerajaan untuk rakyat," katanya.

Bangunkan modal insan selari transformasi

Sementara itu Najib berkata, Pembangunan pendidikan tidak akan tercapai sekiranya modal insan gagal diberi perhatian dalam usaha kerajaan membawa transformasi kepada rakyat.

Beliau berkata, pencapaian itu bukan sahaja disokong dalam penyediaan keperluan pendidikan, tetapi juga sokongan moral daripada warga pendidik, ibu bapa dan semua pihak bagi menjayakannya.

Menurut beliau, kerajaan tidak hanya mahu melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik sahaja sebaliknya mempunyai kualiti serta mantap daripada segi akhlak dan penguasaan amalan nilai-nilai murni.

"Kita perlu buat perbandingan dengan negara-negara membangun yang mana Malaysia berada di saf hadapan.

"Di antara kayu penyukurnya ialah akses pendidikan tinggi yang kini mencecah 37 peratus. Sasaran kita adalah 50 peratus peluang pendidikan dalam masa terdekat yang mana ia menjadi penentu terhadap negara-negara yang sudah maju," katanya di majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan. 

Seramai 474 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima RM200 dan sijil penghargaan daripada Yayasan Pahang.






No comments:

Post a Comment