My Add

Wednesday 11 January 2012

Input berkualiti tingkat produktiviti RISDA

KUALA LUMPUR 11 Januari, 2012: 'Input berkualiti menambah produktiviti' yang merupakan tagline Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal memantapkan lagi usaha agensi itu untuk mencapai produktiviti pengeluaran getah yang maksimum.

Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, sebagai langkah mencapai sasaran tersebut pihaknya bakal melancarkan penggunaan Beg Baja 10kg pada Jun ini untuk kemudahan pekebun-pekebun kecil.

''Inisiatif ini adalah untuk memberikan lebih banyak kemudahan kepada pekebun kecil termasuk dapat membawa beg baja yang lebih ringan semasa proses pembajaan di ladang; seterusnya akan memastikan semua pokok dapat dibaja dengan lebih sempurna,'' katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA di sini semalam.

RISDA juga, kata beliau, bakal mencipta cabang baru iaitu pengenalan kepada Baja Getah Premium dan Benih Getah Berkualiti bagi memastikan tanaman mempunyai jangka hayat yang lebih lama.

Wan Mohamad Zuki menyifatkan pengenalan kepada cabang baru ini iaitu pengeluaran biji benih getah yang mempunyai jangka hayat yang lebih lama akan menambahkan lagi kualiti getah dan ia akan memastikan pengeluaran getah lebih konsisten mengikut masa yang telah ditetapkan.

''Pembekalan input yang berkualiti ini akan dapat menjamin pengurangan tempoh keremajaan pokok dan peningkatan produktiviti, seterusnya menjana pendapatan dengan syarat amalan pertanian yang baik dilaksanakan mengikut jadual,'' katanya.

Beliau menambah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga telah memberi tanggungjawab kepada RISDA untuk melaksanakan program tanam semula yang berlipat kali ganda matlamatnya berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Ia melibatkan keluasan 37,000 hektar untuk tanam semula getah dan 10,000 hektar tanam semula sawit ke sawit di bawah NKEA serta 3,000 hektar tanam baru komoditi getah.

Untuk memastikan kelangsungan stok benih yang mencukupi pula, kata beliau, RISDA telah mengadakan Program Pengutipan Biji Getah di seluruh negara tahun lalu dan hasilnya RISDA memperoleh kesan yang positif apabila kutipan yang melebihi daripada matlamat yang ditetapkan.

Program Kutipan Biji Getah akan diteruskan pada Mac dan Ogos tahun ini di Sabah dan Sarawak pula dan Pengurusan Fleet yang memulakan operasinya di sana awal bulan ini akan memastikan penghantaran bekalan benih getah ke dua-dua negeri itu akan lebih tersusun.

''Pada tahun ini keperluan benih tanaman adalah sebanyak 24 juta benih getah dan 1.48 juta benih sawit manakala 52,000 MT baja untuk dibekalkan kepada para pekebun kecil,'' katanya sambil menambah Bahagian Input Bekalan Pertanian (BBIP) RISDA bertanggungjawab memantau operasi anak-anak syarikat yang berkaitan supaya keperluan input dipenuhi dengan jayanya.'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment