My Add

Monday 23 January 2012

Isu Lynas: MB tidak perlu layan debat

KUANTAN, ISNIN, 23 Januari, 2012: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya tidak melayan hasrat Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk berdebat mengenai isu pembinaan kilang memproses nadir bumi syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) di kawasan perindustrian Gebeng.

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pihak pembangkang sering memutar belit pelbagai perkara dan fakta manakala tujuan berdebat itu dilihat lebih bermotifkan politik.

"Pihak mereka sebelum ini juga membuat forum seperti ini, namun akhirnya dijadikan sebagai platform memburukkan perancangan kerajaan.

"Saya hairan dengan sikap golongan ini kerana terus mencari salah kerajaan sedangkan pelbagai ruang dan peluang disediakan untuk berbincang dan berdialog," katanya di sini, semalam.

Baru-baru ini, Adnan dilaporkan bersedia untuk menyahut cabaran Fuziah, anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berdebat berhubung isu Lynas yang sering ditohmah pembangkang sebagai tidak selamat sedangkan kajian yang dijalankan pelbagai pihak menunjukkan ia selamat untuk alam sekitar dan penduduk.

Malah, Anggota Parlimen Pas Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat yang juga pakar sains nuklear sebelum ini turut membidas Fuziah kerana terlalu menakut-nakutkan penduduk dengan fakta salah berhubung isu berkenaan.

Wan Emril Nizam berkata, pelbagai usaha penerangan dan keterbukaan telah ditunjukkan pihak kerajaan dan syarikat Lynas untuk menjelaskan isu berkaitan pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng.

"Pihak menentang ini seolah-olah tidak mempedulikan apa jua maklumat yang disalurkan, mereka tetap pekakkan telinga dan gelapkan hati untuk menerima kebenaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment