My Add

Sunday 8 January 2012

Isu murtad: Hasan Ali syor paderi, ulama Islam berbincang

SEREMBAN, AHAD, 08 Januari: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali bercadang mengadakan satu pertemuan dengan paderi dan ulama Islam bagi membincangkan isu murtad.

Menurut Hasan, pertemuan itu yang sedang usahakan beliau antara lain bertujuan menunjukkan beberapa bukti proses Kristianisasi dijalankan melalui gerakan yang dilakukan namun, ia akan dijalankan secara tertutup.

''Ini hanyalah satu percubaan yang saya ingin lakukan. Namun, apa yang penting mereka (paderi) bersetuju dan jika bersetuju saya fikir ada beberapa syarat yang perlu diberi keutamaan dari segi jaminan keselamatan dan sebagainya.

''Saya akan cuba menyakinkan mereka dan sama ada percubaan ini berjaya atau tidak, bergantung kepada banyak keadaan," katanya kepada pemberita selepas Himpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Tertutup Paroi dekat sini semalam.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Himpun, Mohd. Azmi Abd. Hamid; Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman dan bekas Mufti Kerajaan negeri Datuk Mohd. Murtadza Ahmad.

Hasan menjelaskan, apa yang lebih penting sekarang adalah kesediaan mereka yang terlibat untuk bertemu kerana ia bertujuan mencari bukti kewujudan usaha mengkristiankan umat Islam melalui gerakan yang dilakukan.

''Sekiranya perlu, saya akan kemukakan bukti-bukti yang kukuh daripada mulut orang yang terlibat tentang perkara ini," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment