KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Januari, 2012: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 judul buku karya asli akan diterbitkan setiap bulan mulai Jun ini dan 20 buku setiap bulan mulai 2013.
Pengarah Urusannya, Mohd. Khair Ngadiron berkata, ia bagi memastikan dana kerajaan bernilai RM5 juta yang diberikan semasa sambutan Jubli Emas Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional Ketiga pada 16 September tahun lepas bagi menerbitkan karya asli penulis muda dalam semua genre dapat dicapai.
Katanya, ITBM bersama Pena dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) bersama-sama membentuk kerjasama strategik untuk menjayakan penerbitan dalam tempoh masa ditetapkan.
"Mekanisme penerbitan dan percetakan antara tiga agensi telah ditetapkan agar proses pengeluaran buku berjalan lancar.
"ITBM bertindak sebagai penerbit yang akan melaksanakan proses pracetak manuskrip manakala pengurusan program latihan dan pembangunan penulisan, proses perolehan manuskrip baru serta penilaiannya akan dipantau secara bersama oleh ITBM dan Pena melalui jawatankuasa penilaian.
"PNMB pula akan menguruskan proses percetakan dengan memberikan harga yang kompetitif serta memastikan tempoh masa dan proses penerbitan buku dapat diatasi," katanya semasa berucap pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kerjasama penerbitan antara ketiga-tiga agensi tersebut semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff dan Presiden Pena, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Mohd. Khair berkata, ITBM juga akan meningkatkan usaha promosi dan pemasaran buku melalui media cetak dan elektronik termasuk pembelian buku di ecommerce@itnm.com.my.
"Penjualan buku di semua gedung buku akan diperluaskan bagi membentuk pembaca yang lebih gemar membeli buku secara langsung.
"Penulis yang berminat boleh menghantar manuskrip karya asli termasuk sinopsis, isi kandungan dan manuskrip ke buku@itbm.com.my atau buku@pena.com.my untuk tujuan penilaian jawatankuasa panel penilai buku," jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment