My Add

Friday 13 January 2012

Jadilah pembangkang rasional

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 13Januari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap pembangkang yang selama ini sekadar tahu memperlekeh kerajaan terutama dalam usaha mengurangkan beban hidup rakyat menerusi program Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka sepatutnya menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, rasional dan adil serta tidak mempolitikkan sebarang usaha yang menyentuh hidup rakyat.

"Kerajaan serius memikirkan bagaimana kita boleh buat untuk menolong rakyat. Kalau pembangkang bertanggungjawab, dia sepatutnya mengiktiraf usaha sebegini.

"Tetapi di negeri yang dikuasai mereka pun, pembangkang tidak menjalankan apa-apa inisiatif untuk membantu rakyat dalam mengurangkan kos hidup dan menjimatkan perbelanjaan. Kalau betul mereka adalah pembangkang yang bertanggungjawab, rakyat seharusnya dibantu.

"Saya fikir mereka harus bersikap rasional dan adil. Jangan sekali-kali memperlekehkan usaha kerajaan dan mempertikai soal kualiti produk KR1M),'' katanya pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan program KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di Wangsa Maju dan Setapak di sini semalam.

Muhyiddin sebelum itu ditanya mengenai tindakan pembangkang yang selama ini mempertikai dan memperlekehkan perjalanan program KR1M termasuk kualiti produk kedai berkenaan.

Ujar beliau, walaupun kritikan yang dilontarkan pembangkang dianggap penting oleh Kerajaan Pusat, usaha membantu rakyat perlu mendapat sokongan semua termasuk pembangkang sendiri.

''Kalau pembangkang buat baik, kita akan akui. Itulah, kalau nak jadi pembangkang yang bertanggungjawab, dia tak kritik semata-mata walaupun perkara itu baik,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Selangor dan Kedah merupakan antara negeri yang mencatat jumlah permohonan paling tinggi bagi mewujudkan program Menu Rakyat 1Malaysia.

Jelasnya, jumlah itu menunjukkan usaha berkenaan mendapat sambutan rakyat termasuk di dua negeri yang ditadbir pembangkang itu.

''Ketika ini sudah ada 142 pengusaha restoran di Selangor yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia dan di Kedah pula seramai 120 pengusaha restoran.

''Kerajaan bertanggungjawab dalam soal kebajikan rakyat dan tidak memilih siapa yang mahu menyertai kedua-dua program itu,'' tambahnya.

Setakat ini, 26 buah KR1M telah beroperasi dan kerajaan menyasarkan untuk membuka 85 buah kedai sama di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Bagi Menu Rakyat 1Malaysia pula, seramai 1,254 pengusaha restoran telah menyertai program berkenaan yang menawarkan pakej sarapan pagi dan makan tengah hari pada harga berpatutan. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment