My Add

Saturday 7 January 2012

Jaga kebajikan pekerja industri untuk tingkat produktiviti - PM

SHAH ALAM, SABTU, 07 Januari, 2012: Majikan sektor industri perlu menjaga kebajikan pekerja kerana ia akan meningkatkan produktiviti pekerja untuk membolehkan syarikat mencatat keuntungan dan memberi gaji yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tolong jaga kebajikan para pekerja,” katanya ketika membuat gesaan itu kepada Ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan wakil-wakil syarikat yang hadir pada Program Perdana Menteri Bertemu Warga Industri Selangor di Kilang Proton Holdings Bhd di Seksyen 26 di sini hari ini.

Najib memberikan contoh bagaimana keuntungan Sime Darby Plantation meningkat selepas beliau membuat keputusan menaikkan gaji pekerja ladang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sebanyak RM300 supaya pendapatan mereka melangkaui garis kemiskinan.

"Pengurusan Sime Darby melaporkan balik kepada saya hasil Sime Darby meningkat kerana keputusan itu. Kerana apa? Kerana kalau dulu pekerja ponteng kerja, absentism tinggi, sekarang orang tak ponteng kerja sebab dia tahu dapat ganjaran lebih.

"Keuntungan Sime Darby bertambah, kebajikan pekerja terpelihara inilah dasar kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 30,000 warga industri itu.

Najib berkata golongan pekerja juga perlu bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti bagi membantu syarikat merekodkan keuntungan.

"Tapi dengan syarat pekerja mesti bekerja, mesti ada produktiviti, betul tak? Kalau produktiviti naik, gaji akan naik, betul tak? Kalau produktiviti naik, syarikat untung, bonus pun kita boleh bagi,” katanya.

Najib berkata banyak lagi yang akan dibuat untuk warga pekerja selagi kerajaan Barisan Nasional diberi mandat memerintah negara.

"Banyak lagi faedah kita akan berikan, kita tahu mentadbir negara. Kami mempunyai pengalaman, anda boleh mempercayai kami kerana kami berpengalaman mentadbir negara ini,” katanya. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment