My Add

Saturday 21 January 2012

Jangan burukkan pemimpin UMNO - Hishammuddin

BENTONG, SABTU, 21 Januari, 2012: Ahli UMNO diingatkan supaya tidak melakukan perbuatan memburukkan pemimpin Umno semua peringkat bagi memastikan parti itu kekal utuh memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata parti itu tidak akan bertoleransi terhadap anggota Umno yang melakukan apa sahaja untuk menjejaskan parti itu terutama mereka yang bersifat 'musuh dalam selimut'.

"Kita sudah kaji dua tahun sebelum ini apabila pembangkang serang peribadi individu pemimpin kadangkala kita sendiri yang 'mengipasnya', kita tidak akan mempertahankannya. Benda ini berlaku kadang-kadang masa kita marah.

"Anggota UMNO yang menaikkan pemimpin, jadi mengapa mereka sendiri (anggota Umno) hendak cantas (pemimpin UMNO). Jangan kita mengiyakan sesuatu yang tidak betul mengenai pemimpin kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian selepas menutup Majlis Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, dekat sini. 

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu. Kursus tiga hari itu disertai 421 anggota Umno dari negeri Terengganu. 

Hishammuddin berkata, beliau gembira dengan persediaan yang dibuat Badan Perhubungan UMNO Terengganu dalam menghadapi pilihanraya akan datang. "Gembira tengok mereka sudah rapatkan barisan, yang penting jentera sudah dikerah, sumpah bai'ah yang mereka lafazkan dalam majlis dapat diterjemahkan kepada tindakan bila calon (pilihan raya BN) diumumkan nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment