My Add

Sunday 22 January 2012

Jangan ceroboh tanah kerajaan

ADNAN Yaakob menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran pada Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Sempena Tahun Baru Cina di Bentong, kelmarin.

Oleh ALI MAHMOOD 

BENTONG, AHAD, 22 Januari, 2012: Penduduk negeri ini diingatkan supaya menghentikan kegiatan menceroboh tanah kerajaan terutamanya yang berskala besar kerana keluasan tanah kerajaan semakin berkurangan dan ia juga akan memberi impak terhadap alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri juga tidak akan meluluskan sebarang pemberian geran kepada individu dan pihak tertentu yang menceroboh tanah kerajaan secara besar-besaran.

Walaupun menjadi satu kesalahan, katanya, kerajaan boleh menimbangkan untuk memberi geran jika rakyat hanya meneroka tanah secara kecil-kecilan untuk menanam sayur-sayuran dan tanaman kontan bagi menambah pendapatan keluarga.

‘‘Sukar bagi kerajaan untuk meluluskan geran kepada individu atau pihak tertentu yang meneroka tanah secara haram hingga 20 hektar bagi tujuan komersial. Kecuali jika mereka bersetuju memulangkan semula sebahagian tanah diteroka secara haram itu, kerajaan negeri boleh timbang untuk memberi geran kepada mereka,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Bantuan Sempena Tahun Baru Cina dan Bantuan Mangsa Kebakaran di Dewan Rekreasi Cina Mancis dekat sini kelmarin..

Turut hadir, Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Hoh Khai Mun.

Seramai 190 orang menerima BR1M pada majlis itu dan 300 lagi menerima bantuan sempena Tahun Baru Cina, di samping 17 mangsa kebakaran menerima bantuan bencana alam kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata beliau, jika mereka meneroka tanah haram seluas lapan hektar tetapi jika sanggup memulangkan semula tanah itu seluas enam hektar, kerajaan negeri sedia untuk menimbang bagi meluluskan baki tanah tersebut sebanyak dua hektar kepada individu berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Adnan berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya BR1M untuk memancing undi bagi menghadapi pilihan umum akan datang.

‘‘Sebenarnya memang tujuan Kerajaan Persekutuan memberikan BR1M untuk membantu rakyat yang susah dan bantuan itu diberi tanpa mengira fahaman politik, agama ataupun bangsa.

‘‘Kerajaan tidak memaksa mereka yang menerima bantuan ini mengundi Barisan Nasional (BN), itu terpulang kepada diri masing-masing,” katanya. - MM


No comments:

Post a Comment