My Add

Sunday 8 January 2012

Jangan langgar peraturan polis

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Januari, 2012:Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihatkan para peserta perhimpunan Bebaskan Anwar 901 supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan sepanjang perhimpunan itu pada Isnin ini.

Beliau menyeru pihak penganjur dan peserta perhimpunan memupuk semangat cintakan keamanan dan membersihkan jiwa daripada segala perbuatan yang boleh merosakkan niat sebenar menyertai perhimpunan.

Katanya, penganjur dan peserta diminta mematuhi 10 terma yang telah ditetapkan, dijelaskan dan dipersetujui dalam satu pertemuan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dan pihak penganjur semalam.

"Saya menghormati pendirian masing-masing dan tidak menghalang sesiapa untuk sokong sama ada Mr.X atau Mr.Y.

"Sepatutnya mereka menunjukkan sokongan itu dengan cara yang betul bukan membuat kekacauan dalam negara. Betulkan niat kerana niat yang baik akan membawa kejayaan.

"Peserta datang berhimpun secara aman dalam jumlah tidak melebihi kawasan yang dibenarkan, selepas selesai keputusan mahkamah boleh terus bersurai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail meminta semua pihak akur dengan keputusan PDRM yang membenarkan perhimpunan tersebut diadakan.

"Saya bukan membelakangkan beratus-ratus laporan polis yang dibuat bagi membantah perhimpunan tersebut diadakan, apa yang menjadi keutamaan saya adalah keselamatan rakyat negara ini.

"Saya percaya pihak penganjur ikhlas, jujur dan suci hati, bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perhimpunan tersebut," katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan perhimpunan itu adalah dibuat secara bersama dengan pengarah-pengarahnya selepas mengambil kira faktor keselamatan awam.

"Perhimpunan itu mungkin akan merebak ke lokasi-lokasi lain jika tidak dibenarkan. Jadi kita membenarkan hanya satu lokasi sahaja," katanya.

Katanya, berikutan keputusan itu, pihaknya juga telah mengurangkan sekatan-sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan lalu lintas pada hari tersebut. - MM

No comments:

Post a Comment