My Add

Monday 16 January 2012

Jangan takut dekati petugas 'Ops Payung'

SUBANG JAYA, ISNIN, 16 Januari, 2012: Masyarakat diminta supaya lebih berani mendekati dan berinteraksi anggota polis yang bertugas di bawah 'Ops Payung' bagi memastikan langkah pencegahan jenayah bersama orang awam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Pendekatan itu dilihat mampu membantu pihak polis di dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh masyarakat sekali gus mewujudkan satu jalinan kerjasama antara polis dan orang awam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, penduduk setempat juga digalakkan supaya berkomunikasi dengan polis yang menjalankan rondaan di sekitar perumahan mereka.

"Hubungan antara polis dan masyarakat perlu diperkukuhkan lagi bagi memastikan tanggungjawab menangani masalah jenayah dapat dilaksanakan secara bersama.

"Melalui kerjasama itu maka akan wujud interaksi sosial sekali gus memberi peluang kepada polis untuk memperbaiki kelemahan di samping mempertingkatkan kualiti perkhidmatan," katanya semasa mengadakan dialog bersama wakil penduduk di pejabatn Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini semalam.

Tambahnya, di Subang Jaya sahaja terdapat 18 buah kenderaan peronda polis (MPV) yang disediakan untuk membuat rondaan bagi mencegah kejadian jenayah.

Justeru, katanya, kesempatan itu perlu diambil masyarakat untuk berkongsi maklumat bersama mereka mengenai senario jenayah hari ini selain memastikan langkah keselamatan dapat dipertingkatkan di kawasan perumahan mereka.

Tun Hisan memberitahu, bahaya wujud di luar sana bukan hanya disebabkan oleh penjenayah tetapi biasanya berlaku disebabkan tindakan masyarakat yang tidak memberi maklum balas terhadap kejadian yang berlaku.

"Sehubungan itu, masyarakat perlu proaktif di dalam membantu polis menangani jenayah dan bukan hanya memandang sesuatu kejadian sebagai tontonan umum," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment