My Add

Monday 9 January 2012

JKM cari ibu kandung kanak-kanak mangsa dera

ZULKIPLY Ramli memangku Mohamad Akmal Hakimi pada sidang media di Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mencari ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Mohamad Akmal Hakimi yang disyaki menjadi mangsa dera ibu angkatnya bulan lalu.

Pengarah JKM Kedah, Zulkiply Ramli berkata, seorang wanita bernama Siti Haya Anuar dengan nombor kad pengenalan 740307-14-5188 yang merupakan ibu kandung kanak-kanak itu dicari untuk menentukan hak penjagaan kanak-kanak tersebut.

"Kami difahamkan Mohamad Akmal Hakimi merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mempunyai waris di Kajang, Selangor.

"Alamat terakhir Siti Haya seperti tertera pada sijil kelahiran kanak-kanak tersebut adalah di No. 27, Jalan Sahabat Off Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Zulkiply, pihaknya telah mendapat perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dari Mahkamah Majistret di sini untuk tempoh sebulan bagi siasatan lanjut dan mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak terbabit.

"Kita ada tempoh sebulan untuk mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak ini dan jika gagal mengesan, JKM akan buka permohonan anak angkat kepada sesiapa yang layak," jelasnya.

Tambahnya, JKM juga telah berjaya mengesan sepasang suami isteri yang pernah memelihara Mohamad Akmal Hakimi sejak berusia 45 hari hingga empat tahun selepas pasangan itu bertindak menghubungi polis sejurus mengetahui kejadian dera melalui berita di televisyen.

"Pasangan yang tinggal di Klang, Selangor itu memaklumkan kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada mereka oleh penjaganya ketika berusia 45 hari bagaimanapun diambil oleh seorang wanita pada penghujung September 2010.

"Mohamad Akmal Hakimi kemudiannya dijadikan anak angkat oleh wanita tersebut pada 16 Mei 2011 sehingga kanak-kanak itu diserahkan kepada JKM selepas disyaki didera," ujarnya.

Sehubungan itu, Zulkiply meminta ibu kandung serta waris Mohamad Akmal Hakimi dapat menghubungi Pelindung Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar iaitu Mohd. Basharudin Samsudin atau Rosmini Meh di talian 04-7202370 atau 04-7202351.

Pada 31 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan kanak-kanak berusia lima tahun ditemui dengan kesan lebam di seluruh badan termasuk mata kiri serta terdapat torehan pada kemaluan dan perkara itu terbongkar selepas seorang jiran menghantarnya ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk diperiksa pada 29 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment