My Add

Wednesday 11 January 2012

Johor negeri pertama tubuh Pusat Khidmat Kewangan Islam

JOHOR BAHRU, RABU, 11 Januari, 012: Johor menjadi negeri pertama yang mempunyai Pusat Khidmat Kewangan Islam (IFIC) yang akan berada di bawah satu bumbung bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah mewujudkan IFIC itu dilakukan setelah kerajaan mengenal pasti industri kewangan Islam menjadi satu komponen yang kompetitif dalam sistem kewangan serta pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

''Oleh itu, sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan negara sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, sebagai projek perintis, Tabung Haji (TH) melancarkan IFIC yang pertama di negara ini iaitu di Menara Tabung Haji di Jalan Ayer Molek di sini.

''Selain menjadi pusat pengurusan kewangan dan pembiayaan Islam, IFIC turut menyediakan perkhidmatan pertukaran mata wang, perlindungan insurans, pelancongan serta pakej haji dan umrah di bawah satu bumbung.

''Kita berharap TH akan mewujudkan lebih banyak pusat IFIC di negara ini serta mempelbagaikan perkhidmatan berunsurkan Islam untuk merancakkan lagi ekonomi Islam," katanya pada majlis perasmian IFIC di sini semalam.

Perasmian pusat itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sambil disaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.

IFIC adalah sebuah pusat sehenti dengan membabitkan beberapa agensi yang bergabung di bawah satu bumbung bagi menjalankan urusan muamalat iaitu sistem kewangan Islam bersepadu.

Jamil berkata, perkhidmatan sehenti yang ditawarkan itu memberikan keselesaan, kemudahan dan keselamatan kepada orang awam khususnya kepada 830,000 pendeposit TH di negeri ini.

''Pada dasarnya sasaran utama ialah pendeposit dan orang ramai yang menetap di bandar raya ini dengan menyediakan perkhidmatan daripada agensi IFIC di bawah satu bumbung.

''Antara agensi yang terlibat adalah Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Tabung Haji Travel & Services (THTS) serta syarikat Takaful Malaysia Berhad,'' katanya.

Sementara itu, Jamil ketika menghadiri majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji 1432H di Kuala Lumpur hari ini memberitahu, kira-kira 6,270 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam sudah mendaftar menunaikan haji sejak perkhidmatan itu diperkenalkan 2 Januari lalu.

Katanya, secara puratanya dianggarkan kira-kira 1,000 pencarum mendaftar di Lembaga Tabung Haji dalam tempoh sehari.

Menurutnya, kemudahan tersebut sangat fleksibel kerana ahli hanya perlu membawa MyKad dan penyata terkini KWSP tanpa perlu membawa wang tunai untuk pendaftaran.

''Kita dapati kemudahan yang disediakan kerajaan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pencarum KWSP beragama Islam yang tidak melepaskan peluang membuat pendaftaran mengerjakan ibadat haji," katanya.

Bermula 2 Januari lalu di bawah Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli KWSP beragama Islam yang mempunyai simpanan minimum RM1,300 di dalam Akaun 1 boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Lembaga Tabung Haji.

Bagaimanapun, menurut Jamil, ahli KWSP yang sudah membuat pendaftaran tersebut perlu memastikan pindahan Akaun 1 dilakukan setelah simpanan mencukupi untuk menunaikan haji berjumlah RM9,980.

Pada perkembangan yang sama, beliau berkata, kos bayaran RM9,980 yang dikenakan pada masa ini masih murah berbanding negara jiran.

''Kos haji yang kita kenakan paling murah berbanding Singapura dan Brunei iaitu sekitar RM18,000, Indonesia antara RM15,000 hingga RM18,000 manakala kos jemaah haji Thailand adalah sekitar RM16,000.

''Walaupun kos bayaran murah, kita masih mampu menyediakan kemudahan yang terbaik dan selesa untuk jemaah Malaysia antaranya jarak antara tempat tinggal jemaah dengan Masjidil Haram hanya kurang satu kilometer di samping kemudahan pengangkutan dan tempat tinggal," katanya.

Mengenai kuota jemaah haji tahun ini, kata beliau, perkara itu hanya dapat diketahui selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Arab Saudi pada April ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment