My Add

Tuesday 10 January 2012

Kalimullah Hassan minta maaf kepada Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan hari ini memohon maaf dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas sebarang rasa malu yang dialami berhubung artikelnya dalam New Sunday Times yang diterbitkan pada 11 Jun, 2006. 

Artikel itu berhubung dengan pertemuan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Dr Mahathir di Jepan.

Permohonan maaf Kalimullah terkandung dalam kenyataan penyelesaian dalam saman fitnah RM50 jutanya terhadap peguam Matthias Chang Wen Chieh.
Kenyataan itu dibacakan peguam Chang, Datuk R.K.Nathan dalam kamar. 

Nathan memberitahu pemberita bahawa plaintif dan defendan telah mencapai kata sepakat penyelesaian masing-masing dalam saman RM50 juta dan tuntutan balas RM150 juta. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad merekodkan kenyataan penyelesaian itu yang dibacakan Nathan. 

Nathan berkata defendan secara terus terang menarik diri dan menarik balik semua dakwaan yang dibuat terhadap Kalimullah semasa satu sidang akhbar yang diadakan pada 13 Jun, 2006 dan dengan itu memohon maaf terhadapnya dan ECM Libra bagi sebarang rasa malu. 

“Dan plaintif juga menarik diri dan menarik balik semua tuduhan yang dibuatnya sehubungan dengan artikelnya pada 11 Jun, 2006 dalam New Sunday Times berhubung dengan pertemuan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Jepan dan dengan itu memohon maaf dengan Tun Dr Mahathir atas apa jua rasa malu," katanya. 

Nathan juga berkata tiada sebarang perintah dan juga kos. 

Sementara itu, Chang memberitahu pemberita bahawa beliau merasakan telah membuktikan kewajaran memandangkan Kalimullah secara terus terang memohon maaf atas semua dakwaan ke atas Dr Mahathir dalam artikelnya. 

Kalimullah juga berkata bahawa beliau gembira kerana dakwaan itu telah ditarik balik dan begitu juga permohonan maaf yang dibuat oleh defendan. 

"Saya, keluarga saya dan rakan-rakan, telah melalui pelbagai tekanan dan dalam keadaan dures berikutan dakwaan tidak berasas ini," katanya. 

“Saya terima permohonan maaf ini dengan fikiran terbuka dan mahu terus bergerak. Ini sepatutnya tidak berlaku dan saya gembira ia telah berakhir," kata Kalimullah yang diwakili Prakash Menon. 

Pada 29 Jun, 2006, Kalimullah memfailkan saman fitnah selepas Chang didakwa mengeluarkan kenyataan terhadapnya pada 13 Jun, tahun yang sama, pada satu sidang akhbar, satu laporan yang mana diterbitkan dalam The Straits Times Singapura melalui korespondennya di Malaysia, Leslie Lau. 

Chang, yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik Dr Mahathir, juga memfailkan tuntutan balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai, 2006, antara lain menuntut ganti rugi RM150 juta. 

Penyelesaian itu timbul selepas saman itu didengar di mahkamah. Sebelum ini, mahkamah mendengar testimoni Kalimullah, manakala defendan masih belum memulakan kesnya. 

Semasa pendengaran, empat personaliti telah disapina untuk memberi keterangan sebagai saksi Chang. 

Antara mereka ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pengasas Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing, bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd Tan Sri Azman Hashim dan bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. 

Bagaimanapun, mereka kecuali Azman telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan sapina itu. 

Pendengaran itu dijadual diteruskan hari ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment