My Add

Tuesday 10 January 2012

'Kami tidak serik ke laut'

PONTIAN, SELASA, 10 Januari, 2012: Walaupun ditahan kira-kira 10 bulan kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia, namun kumpulan nelayan yang dibebaskan setelah mendapat pengampunan baru-baru ini tidak serik untuk meneruskan pekerjaan itu demi sesuap nasi untuk menyara keluarga.

Bagi Redzuan Aris, 36, tiada perkataan serik atau takut untuk turun ke laut selepas kejadian itu kerana kerja tersebut telah sebati dengan dirinya sejak zaman remaja hinggalah berkeluarga.

"Walaupun ayah, Aris Baba ada melarangnya supaya jangan turun lagi ke laut, tetapi demi mencari sesuap nasi untuk isteri dan tiga anak, saya tekad meneruskan kerja ini kerana tidak mempunyai kebolehan lain.

"Bukan tidak pernah kerja di darat tetapi tidak menyeronok dan mengembirakan saya," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di Pejabat Persatuan Nelayan Pontian Besar di sini, semalam.

Zainodin Atan, 54, pula mengakui usia yang semakin lanjut ditambah penyakit jantung dihidapi mendorongnya untuk melakukan kerja menangkap ikan atau udang secara kecil-kecilan sekiranya tidak lagi menjadi tekong.

"Setakat ini saya telah dipelawa untuk kembali bekerja sebagai tekong oleh pemilik bot tetapi setakat ini belum buat sebarang keputusan kerana ingin bersama isteri dan anak tunggal saya dulu," katanya yang bercadang menjadi nelayan pantai.

Bagaimanapun, Mohamad Zamri Hambali, 26, pula mengakui dipelawa oleh saudaranya untuk bekerja sebagai pemandu 'forklift' di Kuala Lumpur tetapi belum membuat keputusan mengenainya.

Dia mengakui 'sayang' terhadap pekerjaan menjadi nelayan walaupun mempunyai sijil dalam bidang automotif dan kini ingin meluangkan masa bersama keluarga dan menemui rakan-rakan yang telah lama berpisah.

Ibrahim Mohd. Kassim, 29, pula berharap ada pihak tampil bagi membantu mereka memulakan kehidupan bari seperti Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Kami tidak serik atau fobia untuk menjadi nelayan kerana di sinilah tempat kami mencari sesuap nasi untuk menyara anak isteri walaupun penuh dengan cabaran," katanya.

Baru-baru ini, Redzuan, Zainodin, Mohamad Zamri, Ibrahim dan dua lagi rakan mereka, Rosli Abdul Rashid, 35, dan Jamil Md. Top, 54, serta seorang warga Indonesia, Subani Samsuddin, 41, kembali ke Malaysia setelah ditahan kira-kira 10 bulan lalu kerana didakwa menceroboh perairan Indonesia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment