My Add

Saturday 21 January 2012

Kampung Puah kekal kampung tradisi - Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, SABRU, 21 Januari, 2012: Kerajaan memberi jaminan akan mempertahankan status Kampung Puah yang terletak di Jalan Gombak di sini sebagai sebuah perkampungan tradisi Melayu yang akan kekal selamanya di tengah bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan sewajarnya akan diambil kerana kerajaan amat memahami isi hati penduduk yang bimbang kehilangan identiti kampung itu kesan pembangunan yang rancak di sekitarnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk berunding dengan syarikat pemaju iaitu Aamin Development Sdn. Bhd. supaya pelan pembangunan yang dilakukan di situ mengambil kira isi hati penduduk di situ.

"Saya faham isi hati penduduk di sini yang ingin merasa kehidupan di dalam perkampungan tradisi di tengah-tengah bandar dan saya pun faham ini boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Tak usah panjang cerita, saya minta Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Tan Sri Ahmad Fuad Ismail) bersama UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) berunding dengan syarikat pemaju berkenaan supaya tolong bertimbang rasa sediakan sebahagian daripada tanah untuk kampung tradisi," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Turun Padang Parlimen Wangsa Maju di kampung berkenaan di sini, SEMALAM.

Pengumuman itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 500 penduduk yang ternyata lega dengan keputusan itu.

Melalui pelan pembangunan yang diluluskan pada Ogos 2001, Kampung Puah, Kampung Puah Bahagian dan Kampung Chubadak Jaya adalah antara kampung yang terlibat dalam projek pembangunan di atas tanah seluas 12.8 hektar di situ.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin, beliau akan berusaha memperjuangkan nasib penduduk kampung terlibat walaupun projek pembangunan itu diluluskan 10 tahun lalu.

"Kalau ada 30 ekar, berilah 10 atau 15 ekar untuk membina satu perkampungan budaya Melayu di sini,'' katanya.

Terdahulu, Najib meluangkan masa bersama-sama kira-kira 1,000 penduduk di sekitar tapak Pasar Basah Teratai Mewah, Wangsa Maju. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment