My Add

Saturday 14 January 2012

Kapal TLDM terbakar di Pasir Gudang

JOHOR BAHARU. JUMAAT, 13 Januari, 2012: Malaysian Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) hari ini mengesahkan berlaku satu kebakaran membabitkan kapal KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungannya di Pasir Gudang, di sini kelmarin.

MMHE menerusi satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.30 malam semalam yang menyebabkan kapal tersebut mengalami kerosakan di bahagian depan.

"Tiada sebarang kemalangan membabitkan kapal-kapal lain atau kemudahan di limbungan MMHE akibat kebakaran itu. Kebakaran itu berjaya dipadam pihak bomba dan penyelamat menjelang tengah malam dan jumlah kerugian sedang disiasat,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, KD Mutiara yang merupakan kapal mengukur hidrografi berada di MMHE untuk kerja-kerja baik pulih yang dijangka siap Mei depan.

Kebakaran terbabit tidak menyebabkan kecederaan atau pencemaran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Johor, Hamid Suari ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada pukul 8.21 malam dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit kemudian.

"Kebakaran di atas kapal empat tingkat dengan panjang lebih 70 meter itu berjaya dikawal satu jam kemudian sebelum pihak kami berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 15 jentera termasuk kenderaan utiliti milik bomba dan penyelamat negeri dikerah ke tempat kejadian. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment