My Add

Friday 20 January 2012

Kastam berkas lelaki warga India seludup ketamin

BUTTERWORTH, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Seorang lelaki rakyat India yang cuba menyeludup masuk 3.3 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM100,000 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam. 

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya, berkata lelaki berusia lingkungan 40-an dari selatan India itu, ditahan kira-kira 9.30 pagi selepas imbasan terhadap bagasinya menunjukkan imej meragukan.

"Pemeriksaan pegawai kastam cawangan penguatkuasaan narkotik menemui sebuah bungkusan mengandungi serbuk putih kristal dipercayai dadah jenis ketamin di dalam ruang rahsia bagasi itu," katanya di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pas pelancong dan memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa KL dari New Delhi, India sebelum tiba di LTAPP. 

Siasatan juga mendapati ini bukan kali pertama suspek memasuki negara ini. 

"Kami masih melakukan siasatan sama ada suspek digunakan sebagai keldai atau merupakan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya. 

Katanya, suspek akan direman sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Pada masa sama, Zulkifli turut menyeru orang ramai supaya berkerjasama dengan kastam dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Unit Narkotik Kastam di talian 04-3318920. 

"Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran dalam bentuk wang tunai akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment