My Add

Monday 16 January 2012

Kastam rampas dadah RM4.87 juta di KLIA dari 1-15 Januari

PUTRAJAYA, ISNIN, 16 Januari, 2012: Sebanyak 19.5 kilogram dadah bernilai RM4.87 juta berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh 1 Januari sehingga semalam. 

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib, berkata enam warga asing terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan sepanjang tempoh tersebut.

"Keadaan seperti ini jelas menimbulkan kerisauan kepada pihak Kastam kerana hampir setiap hari berlaku penyeludupan dadah di KLIA, oleh itu kami sangat berharap supaya orang ramai dapat bekerjasama dan membantu kami dalam memberikan maklumat bagi menangani perkara ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zainul berkata, kira-kira 8 pagi semalam, dadah jenis Syabu seberat 3.2 kilogram bernilai RM800,000 yang diletakkan di dalam empat botol Sea Salt dirampas daripada lelaki warga Iran dan Kazakhstan, masing-masing berusia 24 tahun.

Katanya, anggota Kastam yang melihat kedua-dua suspek membawa sebuah beg bersaiz sederhana dan apabila diminta untuk diimbas serta diperiksa, mereka menafikan beg itu milik mereka. 

"Selepas diimbas ia menampakkan imej yang meragukan dan hasil pemeriksaan anggota Kastam kemudian mendapati terdapat empat botol Sea Salt dan satu bungkus plastik berisi dadah jenis syabu," katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

Kastam turut merampas dadah seberat 16.07 kilogram dalam kes berasingan membabitkan penahanan tiga lelaki warga Turki pada 1 Januari dan seorang wanita warga Iran pada 7 Januari lalu, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment