My Add

Thursday 19 January 2012

Kedudukan PAS di Selangor tidak terjejas: Takiyuddin

KOTA BHARU, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Kedudukan PAS dalam kerajaan pakatan di Selangor tidak terjejas berikutan pemecatan bekas Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Dr Hasan Ali, baru-baru ini. 

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS masih mempunyai tiga ahli Exco dalam kerajaan negeri Selangor dan mereka mampu menguatkan kedudukan parti.

"Walaupun portfolio Hal Ehwal Islam disandang oleh Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), tetapi tugas itu boleh dibantu oleh ketiga-tiga EXCO berkenaan jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Koleksi Warisan Cina sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2012 di sini, hari ini.

Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Kelantan, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Mohd Satim Diman, bahawa keputusan tersebut menggambarkan kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang negeri itu hanya sekadar penumpang dan tidak diyakini oleh rakan yang lain. 

Sebelum digugurkan Hasan memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor. 

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Langat, Dr Ahmad Yunus Hairi, dilantik menggantikan Hasan dengan portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment