My Add

Monday 16 January 2012

Kelantan elok selesai isu air dulu

KHALED Nordin menyampaikan bantuan kepada Tumi Omar berjumlah RM500 sempena majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Parlimen Pasir Gudang di Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.

Oleh NURUL HUDA HASSAN

PASIR GUDANG, ISNIN, 16 Januari, 2012: Kerajaan Pas Kelantan dinasihat supaya menyelesaikan isu air di negeri itu terlebih dahulu sebelum membuat 'janji manis' menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditanggung rakyatnya.

Sambil menyifatkan cadangan itu hanya bersifat populis dan tidak realistik, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia dibuat semata-mata mahu menarik perhatian golongan muda yang merupakan pengundi baru.

Namun beliau yakin golongan muda di negara ini bersikap rasional serta munasabah dan mampu berfikir dengan baik sekali gus membezakan sesuatu perkara itu realistik atau hanya mahu meraih perhatian sahaja.

"Mereka sepatutnya tak perlu cakap pasal nak hapus hutang PTPTN kerana kalau betul ada duit selesaikan dahulu pelbagai isu di Kelantan seperti masalah air yang sepatutnya diberi keutamaan, itu lebih baik.

"Kenapa nak hapus di Kelantan sahaja, bagaimana pula di negeri lain, takkan bila dah perintah negara setiap negeri ada dasar yang berlainan, jadi macam mana nak bentuk kerajaan macam tu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 321 penerima di Dewan Raya Taman Cendana, Pasir Gudang di sini semalam.

Semalam, Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dalam perbahasannya di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar, Kedah berkata, kerajaan negeri akan menghapuskan hutang yang ditanggung warganya daripada PTPTN.

Menurutnya, bayaran itu akan dibuat sebaik Kelantan berjaya menuntut bayaran royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, adalah sukar dan bakal timbul implikasi sekiranya perkara tersebut dilaksanakan kerana kerajaan tidak boleh memberi semua benda secara percuma.

"Kerajaan tidak boleh dengan mudah melaksanakan perkara seumpama itu kerana kita juga perlu duit untuk melaksanakan perkara lain seperti hendak mengurus ekonomi dan membina infrastruktur demi kesejahteraan rakyat," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment