My Add

Wednesday 18 January 2012

Fatwa bank susu ibu haram disambut baik

PAPAR, RABU, 18 Januari, 2012: Kementerian Kesihatan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bahawa bank susu ibu adalah haram. 

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kementerian itu juga tidak menggalakkan penubuhan institusi sedemikian.

"Kita perlu mengetahui dan mengenali ibu yang memberikan susu kepada anak kita kerana terdapat unsur-unsur agama yang perlu dihormati," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan Papar, di sini hari ini.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian sebagai mengulas laporan media awal minggu ini, yang antara lain melaporkan jawatankuasa itu berpendapat tindakan terbabit boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara haram. 

Mengenai majlis hari ini, Rosnah berharap lebih ramai nelayan berdaftar menjadi anggota Persatuan Nelayan Kawasan Papar. 

"Persatuan ini dapat menjadi pemudah cara dalam urusan pengagihan bantuan kerajaan kepada komuniti itu," katanya. 

Pada majlis itu, seramai 502 nelayan menerima elaun bulanan sebanyak RM200. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment