My Add

Saturday 7 January 2012

Kepulangan disambut linangan air mata

AHMAD Maslan (kanan) bersama enam nelayan (dari kiri) Rosli Abdul Rashid, Mohamad Zamri Hambali, Jamil Md. Top, Ibrahim Mohd. Kassim, Redzuan Aris dan Zainodin Adam di jeti Pelabuhan Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

Oleh AMRAN MULUP
MELAKA 6 Jan. - Enam nelayan dari Kampung Seri Dungun, Pontian, Johor yang mendapat pengampunan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono atas tuduhan menceroboh perairan negara itu pada Mac tahun lalu, selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang sepatutnya menjalani hukuman penjara tiga tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Agung Indonesia pada 9 Ogos lalu, tiba di Jeti Penumpang Muara Sungai Melaka, Banda Hilir dengan disambut linangan air mata oleh ahli keluarga masing-masing.

Pengampunan keenam-enam mereka yang dibuat oleh Susilo pada 24 Disember lalu berikutan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membangkitkan isu tersebut sebanyak dua kali kepada Presiden Indonesia itu termasuk dalam pertemuan terbaru di Lombok.

Nelayan itu ialah Redzuan Aris, 36; Ibrahim Mohd. Kassim, 29; Mohamad Zamri Hambali, 27; Zainodin Adam, 54; Rosli Abdul Rashid, 35; Jamil Md. Top, 54 serta seorang lagi rakyat Indonesia Subani Samsuddin, 41.

Sejurus keluar dari feri, mereka dipeluk oleh kaum keluarga termasuk isteri, anak-anak dan ibu bapa serta sahabat handai. Turut menyambut kepulangan mereka Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Sekumpulan keluarga Cina yang juga rakan kepada nelayan terbabit turut mengalirkan air mata kegembiraan sambil memeluk keenam- enam yang dibebaskan itu.

Ibrahim, 29, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membolehkan mereka semua dibebaskan atas pengampunan Presiden Indonesia.

"Kerajaan begitu ambil berat sepanjang kami ditahan di Penjara Bengkalis dengan pelbagai usaha dan saluran digunakan untuk membebaskan kami semua termasuk Wisma Putra dan Ahli Parlimen Pontian.

"Syukur Alhamdulillah segala usaha berhasil dan saya seperti tidak percaya kami semua dibebaskan lebih awal daripada hukuman penjara tiga tahun tiga bulan," katanya.

Bagi Jamil, 54, dia bersyukur kerana dibebaskan lebih awal daripada hukuman penjara.

"Seperti tidak percaya saya dan rakan nelayan yang lain dibebaskan awal. Terima kasih kepada Perdana Menteri (Najib Tun Razak) serta Datuk Ahmad Maslan dan Wisma Putra yang mengusahakan pembebasan kami," katanya dalam nada gembira.

Zainodin, 54, pula menyifatkan pengalaman ditahan pihak berkuasa Indonesia sewaktu menangkap ikan adalah paling pahit pernah dialaminya.

Katanya, ada hikmah di sebalik kejadian tersebut dan ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk turun ke laut selepas ini.

"Saya bersyukur apabila diberitahu dapat dibebaskan lebih awal setelah segala usaha termasuk mengemukakan rayuan dibuat sebelum ini," katanya.

Rosli, 35, turut terharu atas bantuan yang diberikan kepada keluarga mereka sepanjang ditahan di penjara.

"Lebih penting bagi saya, Ahli Parlimen Pontian telah memberi bantuan kepada isteri dan anak- anak sepanjang tempoh hampir 10 bulan saya dan rakan lain ditahan di Penjara Bengkalis.

"Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Wisma Putra dan penduduk di Kampung Dungun, Pontian yang berusaha membebaskan kami semua," katanya.

Redzuan, 36, pula gembira dapat bertemu semula isteri dan tiga anaknya selepas hampir 10 bulan ditahan di Bengkalis.

"Jasa kerajaan tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila," katanya yang memberitahu mereka semua dilayan dengan baik semasa di penjara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment