MUSTAPA menyampaikan pengagihan wang rakyat yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat, semalam.
KOTA BHARU, KHAMIS, 16 Januari, 2012: Kerajaan akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan pengusaha bas henti-henti swasta di negeri ini tidak tercicir daripada peruntukan bantuan RM400 juta yang disalurkan melalui suruhanjaya itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kerugian yang dihadapi syarikat pengangkutan awam di sini dan akan berusaha membantu bagi mengelak rakyat terutama golongan yang tidak berkemampuan terjejas.
Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan bantuan sebanyak RM400 juta melalui SPAD sejak awal tahun ini kepada pengusaha pengangkutan awam di seluruh negara kerana menyedari beban kewangan yang dihadapi akibat kos operasi yang melambung, sedangkan tambang tidak berubah.
"Sudah pasti kita bersimpati dengan rakyat Kelantan yang bergantung kepada pengangkutan awam, pemberhentian (perkhidmatan) ini sudah pasti akan menimbulkan masalah kepada penduduk khususnya yang berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar.
"Saya akan semak beberapa keperluan perkhidmatan ini di Kelantan dan berbincang dengan pihak SPAD esok atau lusa.
"Kita difahamkan (pengusaha bas) telah bincang dengan kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri mendakwa tidak mampu kerana ia melibatkan peruntukan berjuta ringgit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM840,000 kepada pelajar Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.
Seramai 4,200 orang pelajar diploma, prasiswazah dan pasca siswazah kampus itu menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang bagi membantu mereka membeli buku dan bahan rujukan.
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas masalah pengendali bas Cityliner, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) di mana 31 daripada 37 laluannya tergendala bermula hari ini, disebabkan kerugian teruk sehingga menjejaskan ribuan pengguna.
Menurut Mustapa, beliau tidak pasti sama ada peruntukan sebanyak RM400 juta kepada pengusaha bas bermasalah kewangan di seluruh negara itu mencukupi, namun, memberi jaminan kerajaan akan berusaha sebaik mungkin.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan daripada Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim mengenai kerugian teruk yang dialami oleh SKMK, anak syarikat KTB.
Tengku Hasmadi berkata, SKMK yang merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini, mengalami kerugian mencecah RM1 juta sebulan ekoran tidak ada bantuan daripada mana-mana pihak manakala kos menyediakan perkhidmatan lebih tinggi berbanding kutipan tambang.
Malah beliau dilaporkan mendakwa, bantuan bulanan RM100,000 kepada SKMK yang pernah dijanjikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak pernah diterima. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment