My Add

Thursday 19 January 2012

Kerajaan dirayu timbang dua lagi usul PBPM

KUALA LUMPUR, KHAMIS,  19 Januari, 2012: Kerajaan dirayu mempertimbangkan dua daripada lima permintaan yang pernah diusulkan oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) tiga tahun lalu bagi menjamin bekas anggota keselamatan itu dapat meneruskan usaha membangunkan negara meskipun telah bersara.

Presidennya, Shafie Bakri berkata, dua permintaan itu ialah supaya Tabung Rayuan Hari Pahlawan diperluaskan kepada bekas anggota polis serta melantik seorang Senator mewakili bekas anggota keselamatan itu di Parlimen.

"Tiga permintaan awal kami telah dipenuhi oleh kerajaan iaitu pemberian sumbangan khas sebanyak RM3,000, penaikan taraf Bahagian Hal Ehwal Bekas Polis kepada Jabatan Hal Ehwal Bekas Polis dan pemberian pingat kebesaran kepada jasa bekas polis.

"Justeru, kami berharap dua lagi permintaan ini akan dipertimbangkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam mengumumkan penaikan taraf Bahagian Hal Ehwal Bekas Polis kepada Jabatan Hal Ehwal Bekas Polis yang berfungsi mengurus segala perkara berkaitan kebajikan pesara dan bekas polis.

Mengulas penaikan taraf itu, Shafie berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan tersebut yang disifatkan keprihatinan kerajaan terhadap bekas anggota keselamatan.


Katanya, dengan tertubuhnya jabatan tersebut, permasalahan berhubung kelewatan anggota mendapat peruntukan melalui Tabung Amanah Warisan Polis dapat diselesaikan dengan berkesan.

Tambahnya, jabatan tersebut diharap dapat berfungsi sebagai platform bagi bekas anggota polis untuk memperoleh manfaat yang sama seperti pesara lain.

Menurut beliau, kewujudan jabatan itu juga dilihat wajar memandangkan bekas polis merupakan pejuang negara yang mempertahankan negara supaya aman dan terkawal.

"Justeru, pada bekas polis yang masih belum berdaftar kepada pihak PBTM, kami meminta mereka berbuat demikian supaya kebajikan dapat dipelihara dan diperjuangkan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment