My Add

Wednesday 18 January 2012

Kerajaan tak pandang ringan aktiviti ekstremisme

HISHAMUDDIN Tun Hussein selaku moderator berbual mesra dengan Nasharuddin Mat Isa pada persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Kerajaan tidak boleh memandang ringan aktiviti ekstremisme kerana ia dianggap kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan gerakan-gerakan seperti itu tanpa mengira kaum atau agama.

"Dari segi keselamatan, ekstremisme dianggap kegiatan keganasan. Kita tidak pernah kompromi, tidak kira daripada agama mana dan warna kulit walaupun mereka merupakan pengganas. Saya (kementerian) berdepan dengannya setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi terakhir hari pertama Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) 2012 di sini semalam.

Dua panel yang menjadi tetamu pada sesi tersebut ialah Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa dan bekas Timbalan Menteri Luar Jepun, Hajime Ogawa.

Hishammuddin berkata, persidangan seperti itu akan membantu memberi perspektif lebih luas supaya orang ramai tidak dibelenggu dengan pemikiran yang mungkin dikongkong oleh pertimbangan politik dan peribadi sehingga menjurus kepada tindakan ekstremisme.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengimbangi antara kepentingan negara, keselamatan dan hak serta kebebasan rakyat.

"Saya percaya majoriti rakyat Malaysia akan memberikan kita masa itu di mana kadang-kadang akan wujud prejudis atau kemarahan di kalangan mereka," katanya.

Oleh sebab itu, jelasnya, kebijaksanaan pemimpin berdepan saat itu akan menentukan Malaysia terus aman dan rakyat dapat memahami semua transformasi yang dilakukan oleh kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment